Ads by nuffnang

Thursday, November 21, 2013

Izzati -serba kekurangan tetapi berhati mulia.......

Kisah Izzati yang dipaparkan dalam Bersamamu
siaran 21 November lalu mempunyai impak
tersendiri buat saya mahupun krew terbabit.

Perjumpaan saya dan Izzati terjadi ketika saya
selesai penggambaran kisah Bahrin pemuda dari
Johor yang menjalani prosedur angiogram di IJN.

Selesai temuramah dengan doktor dan melangkah
keluar dari wad, terpandang di satu sudut seorang
kanak kanak perempuan dan ayahnya
berkomunikasi dengan bahasa isyarat.

Saya mendekati mereka dan bertanyakan masalah
si kecil.

Si ayah memaklumkan kepada saya yang anaknya
ke IJN untuk rawatan susulan kerana jantung
berlubang dan setelah membuat pemeriksaan
mereka perlu berada beberapa hari di Kuala Lumpur.

Wang yang dibawa kira kira RM450 telah digunakan
untuk rawatan susulan dan lain lain.

Setelah mendapat beberapa maklumat keluarga,
kami menghulurkan sedikit sumbangan untuk
kegunaannya dalam sehari dua lagi di IJN.

Setelah Jefry dan Izzati dibenarkan pulang ke
Alor Star, pihak kami menghubungi Jefry dan
memaklumkan bahawa ingin membuat rakaman
untuk Bersamamu.....

Krew berada 4 hari di negeri yang turut di kenali
sebagai Negeri Jelapang Padi.

Semuanya berjalan lancar.

Sungguhpun  Izzati insan istimewa, cacat
pendengaran dan bisu, dia ternyata
seorang yang periang, disenangi rakan rakan
mahupun tenaga pengajar.

Ketika kami membawa keluarga Izzati makan
malam, seorang remaja membawa tabung ingin
memohon derma.

Saya yang duduk tidak jauh daripada Izzati
sememangnya suka memerhati keadaan sekeliling.

Tatkala melihat pemuda terbabit memohon
sumbangan, dengan pantas Izzati memberi
isyarat kepada bapanya untuk
menghulurkan wang tetapi kerana ayahnya sedang
berbual dengan krew maka pemuda terbabit terus
berlalu.

Daripada raut wajah Izzati kelihatan dia kecewa
tidak dapat menghulurkan sumbangan.

Saya seolah dapat merasakan juga kekecewaan
Izzati...

Hampir selesai makan, pemuda terbabit kelihatan 
tidak jauh dari meja kami dan Izzati terus
memegang tangan bapanya dan meminta duit
untuk dihulurkan kepada pemuda yang meminta
derma.

Ayahnya yang rancak berbual terkejut seketika.

Saya menghulurkan sedikit sumbangan
kepada Izzati dan menyuruhnya masukkan ke
dalam tabung sumbangan pemuda tadi.

Bingkas Izzati bangun terus memasukkan wang
ke dalam tabung yang dipegang pemuda
dan ternyata wajahnya kelihatan berseri seri
dan gembira.

Sungguh mulia gadis yang serba kekurangan ini,
berjiwa murni untuk menghulurkan sumbangan.

Keesokan harinya kami membawa Izzati bersama
dua sahabat baiknya ke Menara Alor Star.

Tatkala dua sahabat leka berbual dengan krew
produksi lain, saya membawa Izzati ke kedai
cenderamata dan membelikan dia "soft toy" 
monyet dan kemeja T lambang Menara Alor Star.

Setelah keluar dari kedai tersebut dia terus
menarik tangan saya dan membawa ke tempat
rakan rakannya.

Dengan menggunakan isyarat, dia meminta saya
membelikan "soft toy" yang sama buat dua
sahabatnya.

Masya Allah......

Ia benar benar membibitkan perasaan sayu
kerana Izzati sememangnya insan istimewa
serba kekurangan tetapi berjiwa mulia......

Dia benar benar menghargai erti persahabatan...

Setiap apa yang berlaku pasti mempunyai
hikmah tersendiri.....

Sesungguhnya Allah swt lebih mengetahui apa
yang terbaik buat umatNYA......

Semoga Izzati akan sembuh dari masalah
jantung berlubangnya dan tercapai cita-cita
menjadi pendidik kepada insan yang senasib
dengannya.....

Izzati manja dengan ayahnya.....

Izzati gemar matapelajaran Bahasa Malaysia.....

Bersama dua sahabat karibnya......dengan "soft toy"
 masing masing

Selesai membuka akaun di BSN Alor Star
 

Wednesday, November 20, 2013

Suntikan di Ibu Jari......

Perkongsian hari ini adalah kisah yang berlaku
semalam.

Ibu jari tangan kanan saya dah sakit lebih
daripada dua  minggu.

Isnin lalu dah tak tahan lagi, maka pergi sekali
lagi klinik di Sri Pentas.

Melihatkan kesakitan tak berkurangan,
sungguhpun dah diberi ubat tahan sakit dan
ubat sapu minggu lepas, Doktor Rohaya
menasihatkan saya untuk berjumpa doktor pakar
di KPJ Damansara.

Dr Rosman, pakar ortopedik sememangya
mempunyai rekod kesihatan saya.

Daripada masalah pinggang, lutut, lengan dan
kini ibu jari, sememangnya dia doktor yang
benar benar memahami masalah pesakitnya.

Bila masuk aja berjumpa Doktor Rosman dan
beritahu masalah ibu jari saya, terus dia melukis
dan menerangkan masalah urat saya yg dah
bersimpul.

Justeru, ia membataskan utk membengkokkan
ibu jari dan terus Doktor Rosman memaklumkan
perlu disuntik....

Aduhhh... bila dengar kena suntik..menelan
air liur lah sekejap....

Dia tandakan tempat perlu disuntik, suruh saya
relak dan terus jarum memasuki pergelangan
ibu jari.....

Sakitnya jangan cerita lah......

Tanda titik hitam tempat untuk disuntik

Terasa nyilu bila jarum ditusuk dan gel meresap di jari

Untuk pengetahuan rakan rakan semua......

Saya mengalami masalah ibu jari kerana
dua minggu lalu penggambaran Bersamamu 
di Kedah dengan kanak kanak istimewa
Nur Izzati Jefry yang teringin nak main boling.

Justeru saya pun mengajarlah sikit sikit.

Berikutan bola untuk kanak kanak, lubang untuk
ibu jarinya kecil, maka beberapa kali ia
tersangkut di ibu jari saya.

Masa penggambaran mengajar Izzati membaling
bola memang tak rasa apa apa, keesokan harinya
bila bangun tidur terasa tegang dan sakit
sangat ibu jari kanan saya.

Urat membengkak dan bersimpul simpul.

Jadi kalau rakan rakan nak main boling
gunakan bola sendiri atau carilah bola di pusat
boling yang lubang untuk ibu jari yang besar....

Dah namapun ibu, ia amat penting dalam
kehidupan.

Tatkala ini ibu jari saya masih lagi sakit,
ternyata banyak membataskan aktiviti untuk
menyelesaikan banyak perkara....

Menurut Doktor Rosman, kira kira seminggu
lagi baru, ibu jari kanan saya akan sembuh
sepenuhnya......Alhamdulillah......

Bersama Izzati yang siaran kisahnya akan
ke udara esok dalam Bersamamu
 

Saturday, November 16, 2013

Ketentuan Illahi......

Salam dari Jengka, Pahang....

Pagi tadi (Jumaat) jam 830 pagi bertolak ke
Jengka dan kira kira 30 minit untuk sampai ke
Jengka 11, lokasi penggambaran kenderaan yang
dinaiki ada masalah sedikit.

Saya dimaklumkan oleh Yeob atau nama sebenar
pemandu yang membawa saya, Rosli ada masalah
dengan hawa dingin.

Maka tunggulah di tepi jalan kira kira 20 minit 
untuk beri "temperature"  kereta turun...

Kenderaan kami yang bermasalah di pinggir jalan

Bila dah ok sikit, maka kami meneruskan
perjalanan tanpa menggunakan hawa dingin.

Alhamdulillah sepanjang perjalanan agak redup
jadi tak lah panas sangat.....

Tugasan kali ini mendekati seorang ibu, NorLaila
yang mempunyai empat cahayamata dan dua
daripada anaknya adalah anak istimewa.

Menumpang di rumah ibubapanya, dia tabah dan
redha dengan ketentuan Illahi.

Anak pertamanya, Kak Long terus terlantar sejak
22 tahun lalu.

Semasa mengandungkan anak kedua, dia agak
gusar jika anak bakal dilahirkan akan mengalami
nasib yang sama......

Doa terus dipanjatkan saban hari dan
Alhamdulillah kelahiran anak kedua normal.

Diikuti anak ketiga juga lahir dalam keadaan
normal.

Allah menduga umatNYA kerana DIA mengetahui
umatNYA dapat menangani ujian yang diterima.

Kelahiran anak keempat, Muiz kini 9 tahun,
membuat jiwa dan naluri Kak Laila meruntum.

Muiz disahkan "down sindrom".....

Dalam kesedihan Kak Laila, redha dengan
ketentuan Allah swt dan menerima suratan
takdir.

Dia percaya setiap apa yang berlaku mempunyai
hikmah tersendiri.

Bersama ahli keluarga Laila

Seperti Laila, Usnizan Umar, ibu kepada 3
cahayamata yang pernah kami paparkan dalam
Bersamamu siaran 19 Sep lalu, juga memnpunyai
jiwa yang kental.

Hospital menjadi rumah keduanya, sungguhpun
barah yang dihidapi di tahap 4, dia tenang dengan
ketentuan Illahi.....

Semalam saya sempat ziarah Izan dan dia
memaklumkan kepada kami sejak kisahnya di
siarkan di Bersamamu, dia tidak putus putus
menerima kunjungan masyarakat Malaysia
yang prihatin.

Pelbagai sumbangan yang diterima bukan saja
bentuk kewangan, tetapi motivasi, nasihat,
sukarelawan mengajar anak-anaknya serta
kiriman doa rakan rakan.

Alhamdulillah.....

Usnizan kelihatan tenang sahaja......

Kami di Bersamamu pembuka jalan kepada mereka
yang memerlukan bantuan dan selebihnya perlu
juga sokongan daripada semua tidak kira apa agama
dan bangsa.






Tuesday, November 12, 2013

Kembali menulis.....

Salam buat semua rakan rakan.....

Begitu lama saya tidak berkongsi cerita
mahupun coretan pengalaman di blog ini.

Kekangan waktu dan kesibukan tugasan
harian mahupun hal hal peribadi
membataskan saya untuk menghadap
komputer di rumah.

Dan satu lagi sebab saya kurang meluangkan
masa dengan komputer di rumah kerana
mudah berkongsi gambar dan coretan pendek
di Instagram.....

Ambil gambar terus "upload" di telefon bimbit
beri penerangan sikit dan pos....
Semudah A..B..C..

Menduduki tempat ketiga Cabaran Bowling NCA
2013 acara Pasukan terbuka di One Utama.
(lama tak bowling, akibatnya ibu jari bengkak beberapa hari)

Alor Star, Coca Cola dan diri ku.....

Di Kundasang, Sabah...Singgah di gerai buah buahan dan
sayur sayuran segar. Teruja melihat buah dikenali sebagai
Lemak Manis yang dikatakan kacukan avocado dan
mangga....Boleh tahan sedap juga bah.....

Hajat hati macam nak daki lagi Gunung Kinabalu
 tetapi masalah lututku....

Bagi sesiapa yang mempunyai instagram
boleh mengikuti saya dengan pencarian
nama "mazlinnordin"....

In sya Allah, selepas ini saya akan kembali
menulis di blog....

Jumpa lagi di "entri" akan datang.....


 

Monday, August 26, 2013

Rumah Terbuka ...ooo Rumah Terbuka......

Hari ini dah 19 Syawal dan begitu pantas
masa berlalu.

Dah nak penghujung Syawal ini....
lagilah banyak jemputan Rumah
Terbuka diterima baik daripada individu
mahupun badan badan korporat....

Semalam, rumah pertama saya penuhi
jemputan ke kediaman Prof Dr Muhaya di
Country Heights, Kajang.

Saya dan rakan rakan sampai dalam pukul
1230 tengahari dan memang tengah ramai
jemputan Prof Muhaya....

Mengikut jadual dari Kajang terus ke
Kiara Hills Hartamas, tapi dah seorang
rakan lagi, Ija yang dok di Sg Merab, Kajang 
ajak singgah ke rumah dia dulu, jadi
singgah dan makan lagi.....

Seterusnya ke rumah Datin Padlon di
Kiara Hills.

Alhamdulillah, rumah terbuka ini juga
bagaikan "reunion" buat kami yang
begitu lama tak jumpa.....ada tu melebihi
20 tahun.....

Makan tak seberapa tapi bersembang
dan bercerita zaman bergelar pelajar di
ITM (sekaramg UiTM) mengembalikan
memori lama.

Seronok sangat berjumpa sahabat handai
yang lama tidak bersua.

Hari ini pula di Sri Pentas di adakan
Rumah Terbuka Bersamamu -
Anugerah Syawal.

Kira 40 anak yatim/miskin daripada
empat pertubuhan, empat keluarga
Bersamamu sekitar Lembah Klang dan
beberapa anak anak Bersamamu yang
menyambung pelajaran di IPTA/IPTS
menjadi jemputan.

Sungguhpun majlis serba ringkas, ia
satu majlis yang bermakna buat mereka.

Selain menerima duit raya, jemputan
istimewa ini turut menerima pelbagai
hamper dan barangan makanan daripada
badan badan korporat.

Alhamdulilllah murah rezeki mereka dan
juga murah rezeki penderma...

Tiga anak Bersamamu yang telah banyak
berubah kanvas kehidupan mereka turut
berkongsi pengalaman suka duka yang
dilalui sebelum dan selesai menerima
bantuan daripada masyarakat prihatin.

Walaupun RM1 dimasukkan ke dalam
Tabung Bersamamu, sumbangan anda
semua sungguh bermakna dalam
membantu meringankan beban golongan
yang memerlukan.

Hulurkan tangan, ringankan beban....

Di kediaman Prof Dr Muhaya

Rumah terbuka dan jalinan silaturahim di
rumah Datin Padlon.....

Suasana sekitar Rumah Terbuka Bersamamu -
Anugerah Syawal

Tatkala mereka ceria, saya lagi bertambah
gembira dengan perubahan yang dilalui.....




 

Thursday, August 22, 2013

"Saya mahu jadi televisyen......."

Dah lama saya tak kongsikan emel berantai
yang saya terima untuk kita renung
renungkan bersama.

Pagi tadi saya menerima coretan daripada
sahabat baik saya Rashidah Sulaiman
dan saya kongsikan bersama rakan
rakan blogger.

"SAYA MAHU JADI TELEVISYEN"

Seorang guru wanita sedang menyemak satu persatu
karangan anak muridnya.

Sewaktu melihat satu karangan yang ditulis seorang
pelajarnya, dia menjadi sangat emosi dan setelah
melihat nama di muka hadapan buku itu, dia
menangis teresak-esak.

Lalu ditanya oleh suaminya

'Kenapa menangis ni?'

'Lihatlah karangan budak ni..'

Suaminya pun membaca dengan penuh khusyuk.

Jadikan Saya Sebuah Televisyen

"Ya Allah, malam ini saya ingin meminta kepadaMu

sesuatu yang sangat istimewa.

Jadikan saya sebuah televisyen.
 

Saya ingin mengambil kedudukan televisyen.

Menikmati kehidupan sebagaimana peti televisyen di
rumah saya.

Saya akan memiliki 'tempat' tersendiri dalam hati
keluarga sehingga mampu menjadikan keluarga
sentiasa berada di sekeliling saya.

Saya akan diberi perhatian serius ketika bercakap.

Saya ingin menerima penjagaan yang sama seperti televisyen.

Ayah akan menemui saya setiap kali ayah pulang dari
tempat kerja walaupun keletihan.

Ibu pula bersama-sama saya saat sedih dan kecewa,
bukan mengabaikan seperti sekarang.

Seterusnya, saya mahu abang dan kakak berusaha
memperuntukkan masa untuk bersama-sama dengan saya.

Saya mahu merasakan bahawa keluarga sanggup
mengetepikan kepentingan lain untuk meluangkan
waktu bersama-sama saya.

Akhirnya, jadikan saya mampu membuat semua individu
yang saya sayangi itu merasa gembira dan saya
menghiburkan mereka.


Ya Allah, saya tidak meminta lebih dari itu.

Saya hanya mahu hidup seperti televisyen pada setiap masa."

Selesai suaminya membaca esei tersebut, suaminya berkata
 

'Kasihannya, anak ini miskin kasih sayang.

Ibu bapanya terlalu teruk!'

Mendengar itu, tangisan si isteri semakin kuat.
 

'Abang, itu karangan anak kita!'

Jika diperhatikan skrg ni.. suami & isteri masing2 dok

sibuk belek dan fokus hp masing2..layan email..facebook..
whatsapp..wechat..

Kadang kadang anak anak duduk tenguk dari jauh
sambil main mainannya..

Jangan pulak nanti anak anak kita pulak buat essei..

'Jadikan saya sebuah Handphone'....

Sama2 la kita berikan perhatian padad insan insan 

di sekeliling yg perlukan perhatian dan kasih sayang kita..

InsyaALLAH......

Tuesday, August 20, 2013

Semoga Dato Vida terus redha dan tabah......

Beberapa hari sebelum umat Islam
menyambut Syawal baru baru ini, kita
dikejutkan dengan berita kebakaran
yang meragut nyawa 2 anak lelaki pengasas
produk kecantikan dan makanan tambahan
Vida Beauty iaitu Dato Vida atau nama
sebenarnya Hasmida Othman.

Hati ibu mana yang tidak mengalami
kesedihan kehilangan dua puteranya
Eddie Zuhdi 11 tahun dan Edrie Zikrie

10 tahun dalam sekelip mata.

Namun Allah lebih mengetahui dan
menguji umatNYA kerana DIA tahu
umatNYA mampu untuk menerima dan
menggalas ujian yang diberi.

Pagi tadi, siaran Santai Bersama....
jam 1130 pagi, menyiarkan kisah
bagaimana Dato Vida menghabiskan
masa santai bersama keempat empat
cahayamatanya.

Rakaman bersama keluarga Dato Vida
dilakukan, beberapa bulan sebelum
kejadian tragedi kebakaran yang meragut
nyawa 2 anak dan seorang pekerjanya
pada 3 Ogos lalu. 


Rumah Pekerja Dato Vida yang dijilat api dan
 mengorbankan 2 nyawa anaknya dan seorg pekerja




Beberapa hari sebelum ditayangkan saya
menelefon Dato Vida untuk mendapat
pengesahan kebenaran untuk siaran pagi tadi.

Dalam keadaan sebak Dato Vida
mengizinkan tayangan terbabit.

Sejak daripada pengambaran dengan
keempat empat cahayamata Dato Vida,
beberapa bulan lepas, Eddie, Edrie,
Edlynn dan Eric agak rapat dengan saya.

Mereka suka bermain boling dan saya pun 
turunkanlah sikit sikit ilmu bermain boling.

Ternyata Eddie dan Edrie boleh menjadi
pemain boling yang baik jika selalu
berlatih.

Namun tiada siapa boleh melawan takdir.

Semasa menziarahi Dato Vida di
kediamannya di Ipoh sehari selepas
kejadian, saya bersalaman dan berpelukan
dengan Dato Vida.

"Dato, saya agak ralat sikit kerana tidak
dapat membelikan kasut dan bola boling
yang mereka inginkan", saya menahan
kesedihan.

"Tak pa lah, Chik Inn dah takdir mereka
berdua pergi meninggalkan kita",
Dato Vida mengeluarkan kata kata dengan
suara yang begitu sendu........

Allah hu Akbar.........

Beberapa hari lepas saya menelefon
Dato Vida bertanyakan kabar dan anak
keempatnya,Eric terus merampas telefon
mamanya.

"'Aunty Chik Inn bila nak bawa saya
main boling lagi", tersentap seketika
jantung saya mendengar pertanyaan
sikecil itu.

Terpandang pandang wajah kedua dua
arwah di fikiran saya seketika..........

Sesungguhnya kita menyayangi mereka
tetapi Allah swt lebih menyayangi
umatNYA....dan setiap kejadian
terselindung seribu hikmah.....

Harap Dato Vida terus tabah dan redha....

Semoga roh Allahyarham Eddie Zuhdi
dan Edrie Zikrie ditempatkan di kalangan
orang orang beriman.

Alfatihah.......


Di Morocco ketika rakaman
Santai Bersama....Dato Vida...


 

Sunday, August 18, 2013

11 Syawal berlalu......

 
Sungguhpun 11 hari, Syawal telah berlalu
rasanya belum terlewat bagi saya
mengucapkan Salam Aidil Fitri
Maaf Zahir Batin buat rakan rakan.

Dok sibuk dengan program Ramadan dan
Syawal maka tak sempat nak berkongsi
kongsi cerita kat blog.

Lagi satu sejak dua menjak ni, saya dok
rajin update "Instagram"... tu yang
kurang menghadap blog.

Instagram ambik gambar terus upload,
cepat dan ringkas saja.

Bagi sesiapa rakan blogger ada Instagram,
boleh follow saya atas nama mazlinnordin.

Kembali kepada sambutan Aidil Fitri, ia 
tak boleh dipisahkan dengan kanak kanak.

Malam raya selain mengemas rumah
dan menyediakan hidangan raya, saya
kena melayan anak anakbuah main
bungaapi.

Bukan layan aja tapi kena "pau" belikan
bungapi untuk mereka sekalilah......


Dan pagi raya seperti biasa tetamu kecil
yang bertandang ke rumah saya bukan
nak makan sangat tetapi nak duit raya.....

Ada yang datang lebih daripada sekali.....

Justeru karikatur yang mengambarkan
kanak kanak perlu mencelup jari ketika
menerima duit raya membuatkan saya
tersenyum sendiri.....


Bagi saya kalau nak datang dua kali pun tak
pa lah...rezeki budak budak.....

Anak anak saudara saya pun apa
kurangnya, balik dari menziarah rumah
saudara mara sibuk kira duit yang
diterima.

Esok dah mula bersekolah.....jadi adik
adik dan anak anak, dah siap ke semua
kerja sekolah??????




Wednesday, July 31, 2013

Nostalgia Kad Raya.....

Beberapa hari lepas rakan saya
Intan Maizura Ahmad Kamal, Editor,
Art & Living, Life & Times dari NST,
menemuramah saya mengenai nostalgia
Kad Raya.

Justeru saya pun dok kongsilah sikit
sikit memori 20 ke 30 tahun dulu.

Perubahan zaman kini merubah segala
galanya. Ketika ini seperti kebanyakkan
masyarakat di luar sana, penghantaran
ucapan Aidilfitri sering saya terima
dan balas melalui telefon dan emel.

Pada sesetengah rakan rapat atau famili
terdekat, saya akan tulis dengan ucapan
peribadilah, tak lah "cut and paste".

Mengimbas zaman persekolahan, dalam
usia antara 10 ke 16 tahun, zaman tu kad
raya harganya dalam 20 dan 30 sen dah
kira cantik.

Kalau dah dekat nak puasa, duit belanja
sekolah saya perlu jimat kerana nak beli
kad rayalah katakan..... minta duit lebih
kata nak beli kad raya nanti kena "sound"
dengan Maharani (mak).........

Berilah pada kengkawan dan cikgu
kegemaran....

Kalau beri pada kengkawan, siap ada
pesanan "Pecah kaca pecah gelas, sudah
baca harap balas" dan "Pecah kaca pecah
tong, sudah baca harap gantung.

Pada cikgu tak lah tulis macam tu.....

Tapi kalau dapat balasan daripada cikgu,
MasyaAllah seronoknya lebih sikitlah....

Bab "design" tu seingat saya lebih kepada
gambar ketupat, masjid dan karikatur/
kartun berpuasa,main bungapi, kacau dodol.

Saya ingin menambah sikit, saya sebenarnya
selain suka memberi kad raya pada
kengkawan, saya juga suka mengirim kad raya
pada Pemimpin Negara seperti Perdana Menteri,
Menteri Besar, Agong, Sultan dan ternyata
memang mendapat balasan.

Ada juga yang dapat balasan selepas hari raya
tapi pada saya ia satu kepuasan kerana
dengan bangganya beritahu pada rakan rakan
dapat kad raya daripada PM lah, VIP lah.....
alaa.... masa budak budak biasalah kan suka
benda benda macam tu.....

Setem pun ketika tu 10 sen sahaja.....

Saya suka simpan kad raya yang istimewa
atau ada kaitan dengan diri saya....

Bagi saya secara peribadi, penghantaran
kad raya ni perlu diteruskan kerana jangka
masa panjang, bila kita tenguk kembali
kad yang diterima lebih lagi bila ada ucapan
istimewa.....mengembalikan nostalgia kepada
sahabat lama kita yang mengirim.

Kalau melalui sms atau emel, cukup masa
kita "delete"....lagipun kebanyakan ucapan
yang diterima adalah ucapan "cut and paste".

Tentu rakan rakan setuju pandangan saya kan....
dapat ucapan dan hantar pada kawan lain,
ucapan yang sama.....

Kekadang tu terima ucapan yang sama dalam
satu hari tu sampai 10 kali, bezanya adalah
si pengirim.....

Rasa saya budaya menggantung kad raya
seperti dulu dulu juga sudah kurang
dipraktikkan.......

Salam Aidilfitri........
 
Kad diterima pada tahun1999....

Tahun 1997 dan stem 20 sen sahaja

Kata kata yang mengembalikan memori pada
sahabat lama

Beberapa koleksi kad yang lebih 15 tahun
masih dalam simpanan saya....

Kad kiriman Dr Nor Ashikin Mokhtar tahun 1996

Friday, July 26, 2013

Andai duit tinggi menggunung.......

Sungguh cepat masa berlalu dan kini
kita telah 17 hari menjalani ibadah
puasa di bulan mulia Ramadan
Al Mubarak ini.

Dan saya juga telah sekian lamanya
tidak mengemaskini blog kerana
sibuk dengan tugasan dan bila sampai
di rumah terus hanyut dibuai mimpi.

Semalam program Bersamamu-
Penuhi Impian, kami papaparkan
kisah adik Amirudin Abdullah dari
Sik, Kedah.

Maklumbalas yang saya terima
daripada rakan rakan tidak kira
di mana sahaja mereka berada
sungguh baik.

Ramai yang ingin melawat keluarga
Amir yang serba kekurangan itu dan
menghulurkan sumbangan....

Andai duit tinggi menggunung....
adalah lebih baik membantu golongan
yang memerlukan dengan mengeluarkan
zakat dan bersedekah....

Amir bakal menduduki PMR tahun
ini menghidap penyakit dikenali
NeuroFibroma sejenis penyakit
genetik, tumbuh pada kulit dan
bahagian tubuh.

Dia telah tiga kali menjalani
pembedahan.

Adik Amir yang kedua Yusri Azri
dan adik keempatnya, juga
mengalami nasib seperti abangnya.

Di dahi dan bahagian belakang Yusri
ketumbuhan mula membesar
manakala adik keempatnya di
bahagian lengan telah mula tumbuh
kutil kutil kecil.

Zaman kanak kanaknya, Amir tidak
begitu disenangi masyarakat setempat
terutama rakan rakan sebaya yang
sering mempersendakan dia kerana
kekurangan fizikalnya.

Adik adiknya juga sering menjadi
mangsa ejekan rakan rakan.

Amir mengambil keputusan tidak
mahu ke sekolah.

Namun, sebagai ibubapa yang ingin
anak mereka keluar dari kepompong
kemiskinan, Salmah mahupun
Abdullah sering meniupkan semangat
kepada anak sulongnya.

Amir bangkit dan yakin tiada penyakit
yang tidak boleh diubati.

Dia tidak putus putus memanjatkan
doa untuk terus sembuh.

Memetik kata kata ayah Amir yang
cacat penglihatan,

"Saya tidak rasa kesal dan berkecil
hati sebab takdir suratan yang Tuhan
nak berikan, kita terima. Baik
buruknya adalah kekuasaan Allah...
DIA tahu apa yang terbaik untuk
umatNYa....Hidup ini ada pelbagai
cabaran....dan kecacatan bukan
penghalang untuk berjaya.....".

Impian utama yang dihajati Amir
sebenarnya untuk memiliki sebuah
komputer riba.

Amir kepingin memiliki komputer
riba sendiri bagi memudahkan dirinya
untuk membuat kerja kerja sekolah.

Kami turut membuat kejutan dengan
membawa Amir dan dua lagi adiknya
menaiki pesawat ke Legoland.....

Dia bersyukur dengan sokongan dan
galakan tidak putus putus daripada
ibubapanya, keluarga angkatnya dan
masyarakat prihatin.

Bagi rakan rakan yang ingin memberi
sumbangan kepada keluarga Amir
untuk memeriahkan Syawal mereka,
saya sertakan no akaun di bawah:

Muhammad Amirundin Abdullah
Akaun BSN : 02130-29-00013399-6.

Allah swt menyelitkan kelebihan
di setiap kekurangan.....

Kekuatan di setiap kelemahan....

dan sukacita di setiap dukacita....

Hulurkan tangan, ringankan beban.....

Amir begitu teruja menaiki pesawat ....
leka meninjau di tingkap pesawat.....

King Amir....di kelilingi adik adiknya....dan wargakerja
Yayasan Maybank....
Amir dan adik adik begitu teruja berada
seharian di Legoland.....




Amir mendapat komputer riba daripada wakil Paradigm Mall 
 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...