Ads by nuffnang

Saturday, April 30, 2011

Masalah bekalan air.....

Apa reaksi rakan rakan blogger jika tiada bekalan 
air di rumah?

Masalah ketiadaan air sering juga melanda apartmen 
yang saya duduki.....

Dulu disarankan setiap pemilik mempunyai "meter" 
sendiri tapi sampai sekarang tidak juga dipraktikkan.

Bagi pemilik rumah yang saban bulan membayar bil air
agak kecewa kerana bila air dipotong, kami kami 
turut terpaksa menanggung ketiadaan air....

Seperti yang dimaklumkan semalam, saya berada di 
PWTC mengunjungi Pesta Buku.

Sebelum balik ke rumah, saya menalipon rakan yang 
turut menetap di apartmen yang sama.....

Bila dimaklumkan masih tiada air......aduh....
jiwa kacau saya sekejap....

Air yang disimpan pun tinggal sedikit....maka saya
terus ke sebuah pusat membeli belah di Mutiara 
Damansara.

Selain dari makan, dok melepak lah saya memerhatikan 
pengunjung dari jam 6 petang hingga 9 malam.

Pentingnya air...(photo dr image Google)

Bukan kerana saya ini suka melepak, selain daripada 
menggunakan tandas, dapatkan menunaikan 
solat Asar, Maghrib dan Isyak......di sana....

Saya kekadang hairan lah dengan sikap segelintir
insan, dah guna air di rumah, cukup bulan bayarlah
apa yang patut.....

Jadilah insan yang bertanggungjawab.....

Ni berbulan bulan tak bayar....pihak pengendali 
apartmen tidak larat menanggung hutang, dan
akibatnya bekalan air dipotong.....

Kesian bagi yang mempunyai anak kecil.....mahupun
penghuni yang kurang sihat yang kerap ke tandas......

Sesekali bolehlah melepak sekejap kat pusat membeli
belah atau pusat rawat dan rehat berhampiran.....
kalau hari hari lain pulak jadinya..... 

Sememangnya air begitu penting dalam kehidupan
seharian setiap insan di mukabumi ini........

Sama samalah kita menghargai setiap titisan air yang
dikurniakan oleh Yang Maha Esa......





Friday, April 29, 2011

"Bila beli...jangan tak baca...."

Hari ini ramai juga rakan rakan di pejabat saya 
cuti kerana pakej hingga hari Isnin.

Saya juga tidak terkecuali....lagipun gaji dah 
masuk, jadi menguruskan hal hal kewangan 
apa yang patutlah....

Berikutan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 
akan berakhir Ahad ini, tengahari tadi saya ke 
Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bersama rakan 
baik juga adik angkat saya Nikky, pensyarah di USM.



Saya mengenali Nikky atau nama sebenarnya 
Nik Norma ketika penggambaran di New Zealand 2007.
Nikky khusyuk membaca tajuk tajuk buku.....
Ketika itu Nikky melanjutkan pelajarannya di sana. 

Jika di Moscow dan Ukraine, saya ditemani adik adik
bakal doktor perubatan, semasa di Christchurch, saya
ditemani adik adik doktor falsafah diketuai Nikky.....

Bersama Nikky semasa di New Zealand

Semasa di PWTC, memang ramai pengunjung memenuhi
setiap sudut "booth" atau gerai dengan pelbagai
aktiviti dan tawaran.

Sesekali terdengarlah ungkapan seperti :

"Make sure bila mama beli buku tu nanti, Along
mesti baca".

Betul tu cakap mamanya, kekadang anak anak ini
teruja nak buku itu dan ini, bila dah beli, tak baca 
pulak...... 

Dengan tema "Buku tanpa Sempadan", sebagai 
pensyarah,  buku yang dicari Nikky berada di 
Dewan Tun Razak 4 yang banyak menempatkan 
buku buku rujukan pelajar pusat pengajian tinggi.
Dan harganya pun boleh tahan tinggi.

Saya tertarik dengan sebuah buku bertajuk
"Russia and Islam", memang bagus dan
ada kesinambungan dengan tugasan saya baru 
baru ini di Rusia.


Bila ditanya harganya, huh tarik nafas panjang 
saya dibuatnya iaitu RM438.00.........

Tapi bukanlah semua buku harganya mahal,
tertakluk pada buku itu sendiri serta penulisnya.

Bagi yang menetap di Lembah Klang, jika ada 
kelapangan waktu, bawalah keluarga ke sana....

InsyaAllah, saya akan ke sana lagi Ahad ini.... 

Masa menulis "entri" ini teringat ingat buku tu,
mungkin hari terakhir dapat harga "durian runtuh"....
kalau tak dapat makan durian ajalah..... 



Thursday, April 28, 2011

"Rumah Chinta ......"

Masih ingatkah lagi rakan rakan drama "Chinta" 
yang dibintangi pelakon hebat Fasha Sandha.....
dalam slot Akasia setiap Isnin hingga Khamis di TV3
antara bulan Oktober hingga November tahun lepas?

Ala... kisah seorang wanita yang begitu kecewa
dengan takdir yang menimpa dirinya dan berdendam
dengan kaum lelaki..... 

Katabual (skrip) terkesan dihati saya hingga kini 
adalah yang dilafazkan oleh Saidatul lakonan 
Faradiya kepada ibu mertuanya pelakon Aida Rahim,
yang mempunyai makna mendalam dan tersirat.


"Untuk menang sesekali kita perlu 
kalah, kerana tidak guna kita menang 
jika sebenarnya kita kalah......"

Renung renungkan.....

Pagi tadi saya ke kawasan Kuang, Selangor untuk 
"recce" sebuah rumah yang mempunyai keunikan 
tersendiri bersama Penerbit Norlizah Yusoff 
yang sedang menerbitkan program "Home Ideas" 
(working title).


Sampai ke perkarangan depan rumah, mengingatkan 
saya pada drama bersiri terbabit....

Di waktu yang sama ketika kami "recce", krew 
produksi drama terbitan Grand Brilliance sedang 
membuat penggambaran untuk slot drama "lagenda" 
siaran TV3 akan datang....

Jadi kami pun pusing pusing keliling rumah dan
berbincang ala kadar kerana tidak mahu mengganggu
penggambaran.

Kami ditemani Afiq, anakbuah tuanrumah iaitu
Datuk Kamil, melihat beberapa sudut sesuai untuk 
rakaman akan datang bersama pengacara program itu 
nanti iaitu Nor Azlina Redzuan.

Bersama Norlizah dan Afiq di depan "Rumah Chinta Chandurry"

Kediaman yang dijadikan rumah rehat hujung minggu,
sememangnya sebuah lokasi yang mendamaikan untuk 
berehat setelah sibuk bertugas memerah minda seharian.

Silalah tenguk photo sebahagian daripada kediaman ini
yang pernah dijadikan "Rumah Chinta Chandurry".....

Perkarangan luar rumah....




Kawasan dalam rumah




Nak tenguk lebih terperinci dekorasi rumah ini.....
tunggu....akan datang di TV3 tidak lama lagi.......

Wednesday, April 27, 2011

Siapa suka Gula Kapas.......?????

Masa ke stesyen minyak dan masuk ke kaunter 
pembayaran, terpandang ke arah beberapa bungkusan
berwarna merah tergantung dan tersusun kemas....

Tak lain tak bukan...ia adalah gula kapas......
orang putih kata "cotton candy"....

Rasa teringin pulak nak makan....

Dah lah menghidap diebetes dan tak boleh makan
banyak makanan manis....tapi teringin punya pasal
maka saya belilah dua bungkus.....

Sambil menaip entri ini sesekali disulami dengan
gula kapas huhh.......sedap gila rasanya....

Seingat saya zaman saya kecil kecil dulu di kawasan 
perumahan saya di Kota Raja, Klang, seorang lelaki 
India Muslim menjual dengan menggunakan basikal 
masuk ke kampung kampung.

Harga masa tu 10 sen saja......turut dikenali sebagai
"alursemitai"....

Cara pembuatannya unik.

Basikal diletakan di atas "stand", kemudian dia 
akan mengayuh basikal terbabit dan waktu yang sama 
acuan berbentuk bulat yang telah diletakkan gula 
akan menghasilkan gula kapas terbabit.

Sekarang cara pembuatannya menggunakan letrik - mudah dan cepat...

Mungkin ada juga di kalangan rakan rakan blogger
yang 4 series seperti saya pernah membeli dan merasai 
gula kapas yang diusahakan saudagar senja ketika itu.....

Kini masa berubah.....cara pembuatan makin mudah,
bagaimanapun harganya makin meningkat.....

Sesekali menikmati gula kapas ini " memang besstttttt......."

Sedapnya Gula kapas........(gambar hiasan daripada Google Images)

Esok rakan rakan yang teringin tu belilah ya......
tapi jangan makan banyak......memudaratkan kesihatan 
pulak.....

Tuesday, April 26, 2011

Uniknya......Pasar Haiwan Peliharaan.....di Kiev....

Terima kasih kepada rakan rakan blogger yang turut 
memberi semangat dan mendoakan kesejahteraan
kepada adik angkat saya Amina di Simferopol pada 
entri kelmarin...

Sesungguhnya Allah lebih mengetahui apa yang terbaik 
untuk umatNYA......

Entri hari ini masih di Ukraine tetapi saya ingin kongsikan
kisah di Kiev.

Sehari sebelum berlepas pulang ke tanahair, kami ada
satu lagi tugasan dengan seorang daripada pengusaha 
restoren makanan halal di Kiev.

Berikutan temujanji kami pada pukul 11.30 pagi, Aina 
mencadangkan kami ke Frunze 172 - Metro Nivki.
(lebih kurang macam tu  ejaan dan bunyinya....)



Sebenarnya ia adalah kawasan yang turut dikenali 
sebagai "PetMarket", pasar yang menjual pelbagai
haiwan peliharaan seperti kucing, anjing, arnab, hamster,
chincillas, burung, ikan dan beberapa haiwan mamalia
lain.


MasyaAllah, seakan tak percaya apa yang saya lihat.

Selain daripada haiwan peliharaan yang dijual, pelbagai
aksesori dijual dengan harga yang berpatutan.

Mulanya dari jauh ingatkan baju yang tergantung adalah 
baju kanak kanak, rupanya baju untuk kucing dan anjing.


Baju dan pelbagai aksesori yang dijual


Turut dijual makanan, vitamin, ubat, shampoo, sikat, bantal,
sangkar, bakul, sweater, setokin, gelang, rantai,
permainan malah "stroller" atau kereta sorong pun ada....

Huh..... masyarakat di sini memang menyayangi haiwan
peliharaan dan memberi penjagaan yang terbaik.

Mereka sanggup mengeluarkan wang yang banyak, demi
haiwan peliharaan.  

Pasar yang memulakan perniagaan bermula 8 pagi hingga
5 petang menjadi tarikan terutama hari Sabtu dan Ahad.

Ezzah turut membeli rantai untuk kucingnya "Muserr",
dan saya turut mencari cenderamata untuk Adam tapi
spesis macam Adam tak dijual di situ.....jadi tak dapatlah
Adam "Souvenir Ukraine".



Sepanjang saya di Ukraine, jika terserempak dengan 
kucing atau anjing jalanan, haiwan haiwan itu kelihatan
bersih, jinak, gemuk dan terjaga......

Di Moscow jarang jumpa haiwan jalanan, sebab masih 
bersalji masa tu.....di Ukraine dah masuk musim bunga....
tu yang nampak banyak anjing dan kucing berkeliaran....
Kucing jalanan yang manja......

Pelik juga saya dibuatnya.....mungkin masyarakat
di sini begitu prihatin dengan haiwan maka yang tidak 
bertuan juga turut diberikan makanan......

Ia satu amalan yang baik....kerana haiwan haiwan itu
juga makhluk Allah.....

Harga seekor kucing boleh dibeli di antara RM 100 ke 
RM 1000 tertakluk kepada jenis kucing yang dipilih
dan menurut Aina ia jauh lebih murah daripada tanahair.

Manakala harga Chincillas yang mempunyai bulu yang
cantik sepasang dijual RM 200 ke RM 500 sedangkan di
Lembah Klang, harga Chincillas sepasang di antara
RM 1000 ke RM1500.

Memang hajat dihati nak juga beli Kucing dan di
bawa balik ke Malaysia tapi banyak pulak terma 
yang perlu dipatuhi dan tambang tiketnya juga 
harganya macam tambang manusia.........

Pernah pelihara Chincillas tapi kos membelanya tinggi.....

Tak jadilah haiwan tu warga Malaysia.......ambil gambarnya
ajalah.......



Sunday, April 24, 2011

"Dalam tawamu terselit kedukaan......"

Sepatutnya semalam saya nak menulis entri mengenai 
penterjemah dan adik angkat di Simferopol, Ukraine 
iaitu siapa lagi kalau bukan Amina, tetapi biasalah
kita merancang Allah menentukan.

Ada beberapa perkara saat akhir yang perlu dilakukan 
dan balik apartmen dah lewat malam, maka tak dapatlah 
meneruskan hajat terbabit.

Seperti dimaklumkan terdahulu, kami sampai di stesyen 
keretapi Simferopol 1 April kira kira 4.15 pagi di sambut 
beberapa pelajar diketuai oleh Ikhwan dan Marini.

Setelah "check in" di hotel, rehat seketika dan tepat
10.30 pagi, kami telah bersedia menunggu pelajar pelajar
untuk menemani kami bagi penggambaran di bandar
dan masyarakat setempat bersolat Jumaat.

Kami di bawa ke Masjid di tengah bandar dan ketika jemaah
menunaikan solat Jumaat, saya dan Marini yang menunggu
berhampiran pejabat masjid di datangi seorang gadis dan
memperkenalkan dirinya sebagai Amina.......

Selesai solat, kami makan tengahari di sebuah restoren
yang tidak jauh daripada masjid.

Kebetulan waktu untuk menunggu pesanan makanan
begitu "lama" sekali, maka saya penuhi dengan 
perbincangan dengan Marini, Ikhwan dan Amina 
mengenai jadual penggambaran di Crimea.

Sepanjang perbincangan terbabit, apa yang dapat saya
katakan Amina begitu teruja sekali dengan segala 
perancangan tugasan kami mendekati masyarakat 
Islam di beberapa daerah di Crimea.


Di restoren bersama Ikhwan, Marini dan Amina

Kemudian barulah saya mengetahui yang dia adalah
saudara baru dan selain menjadi penterjemah, ruang 
yang ada akan digunakan olehnya untuk memanjangkan 
lagi silaturahim dengan masyarakat Islam di situ.

Fasih berbahasa, Inggeris, Russia, Ukraine, Urdu, 
Hindustan dan sedikit "cakap Melayu", seorang yang 
peramah, periang, sentiasa melemparkan senyuman
dan suka ambil gambar.(saya turut gelarnya Ratu Fotograpi)


Setiap kali kalau guna kameranya, dia sering meminta
rakan rakan mengambil dua kali.

"One more pleaseee....." perkataan kegemarannya.

Dia memang begitu gembira dipilih menjadi penterjemah
dan sering melebalkan dirinya juga sebagai
krew produksi TV3.....

"Wartawan pelatih" TV3 di Ukraine

Hari demi hari ikatan persahabatan saya dengannya 
makin rapat.

Maklumlah masa yang dikongsi bersama melebihi 12 
ke 15 jam saban hari.

Dari situ saya mula mengenali siapa sebenarnya Amina
baik daripada pengamatan sendiri, dia berkongsi
kisah hidupnya mahupun dimaklumkan rakan rakan
rapatnya terdiri pelajar tahun akhir perubatan di Crimea 
State Medical University, Simferopol.

Dilahirkan kembar pada bulan June 1987, dia dibesarkan
oleh neneknya penganut Kristian Orthodox kerana ketika
masa kecil kedua ibubapa meninggal akibat kemalangan.

Di zaman persekolahannya, dia mengaku pada peringkat
permulaannya, melabelkan agama islam adalah
agama yang ganas dan suka berperang dari pembacaan
mahupun tontonan di televisyen.

Namun tatkala berkawan dengan masyarakat tempatan
beragama Islam, hatinya mula tertarik untuk mendalami
Islam.

Dengan menghadirkan diri di persatuan persatuan 
berlandaskan agama Islam, hatinya terus terbuka
untuk memeluk Islam.

Sungguhpun mendapat tentangan daripada nenek dan
adik kembarnya, dia pasrah.....

Amina melafazkan Kalimah Shahadah dan menjadi
saudara baru dalam usia remajanya....

Bagi Amina, setelah memeluk agama Islam hatinya lebih
tenang dan hidupnya dirasakan lebih tenteram.

Persepsi mengenai Islam sama sekali berbeza daripada
apa yang diketahui sebelum ini.

Dia terus mendalami agama Islam dengan menghadiri 
kelas kelas agama di adakan oleh "NGO" agama islam 
setempat mahupun rakan rakan lain.

Tahun kedua menuntut bidang perubatan di Simferopol,
hatinya telah dipikat oleh pelajar tahun akhir perubatan
di universiti yang sama.

Berikutan pelajar terbabit rakyat India beragama Islam,
terus menyuntingnya sebagai suri di hati, maka Amina
menerima lamarannya.

Amina berhenti daripada pengajiannya dan terus 
mengikuti suaminya yang bertugas sebagai pakar
bedah di India.

Mempunyai seorang anak lelaki yang saling tidak
tumpah rupa suaminya, Amina mudah menyesuaikan
diri dengan keluarga mertuanya baik segi berkomunikasi
mahupun di dapur.

Namun sangkakan panas sampai ke petang, rupanya 
salji di tengahari, (sebab negara ada salji) rumahtangga
yang dibina atas paksi cinta suci berakhir dengan
perpisahan.

Lebih 4 tahun hidup bersama....sudah ditakdirkan.......
jodoh tidak panjang.....

Mengikut adat masyarakat di kampung suaminya,
isteri yang diceraikan tidak dapat sebarang harta
termasuklah harta yang paling berharga dalam
dirinya iaitu anak lelakinya.........

Justeru pulanglah dia ke bumi Ukraine dengan
hati yang remuk.....

Nenek dan ahli keluarganya menyaran lupakan saja
apa yang berlaku dan kembali ke agama asal..

Tapi bagi Amina, sekali melangkah, dia tidak
akan pandang ke belakang kembali......

Islam adalah agamanya.......

Justeru dia mengambil keputusan untuk menyambung
pengajian awal tahun ini dan kebetulan duduk sebumbung
dengan rakan rakan lamanya pelajar pelajar Malaysia.

Rakan rakan yang memahami kisah hidupnya, terus
memberi semangat untuk dia membina kehidupan yang
baru.

Mereka turut membabitkan Amina dengan pelbagai
aktiviti terutama kelas agama bersama Kak Nabihahnya 
atau Memey, Sam, Hani, Nabila, Marini, Fira, Tini, Shasha 
Yana, Diana, Ayu dan ramai lagi.
Amina disenangi pelajar pelajar kita....
Memey sahabat karip Amina di sebelah kiri sekali...

Semasa kami mendekati keluarga Rashid yang mengajar
di madrasah dan mempunyai tiga anak kecil, pada mulanya
dia begitu gembira bergelak ketawa dengan anak anak itu
dan seperti biasa banyak mengambil gambar.

Ketika saya dan krew hendak memulakan temuramah
di luar madrasah dengan Rashid, Shahril jurukamera
menegur dia yang duduk termenung panjang.

Saya turut menegurnya dan dia terus berlari ke arah
saya memeluk erat dan terus menangis teresak esak......

Dia rindukan anaknya........

Bekas suaminya tidak membenarkan bercakap dengan
anaknya dan untuk ke Ukraine apakan lagi.......

Saya turut sebak terus memujuk dan menasihatkan 
dia terus bersabar dan terus memohon pada 
Yang Maha Besar......

Ibu mana yang boleh menahan kesedihan tatkala tidak
berpeluang untuk melihat anaknya membesar di depan
mata sendiri........

Setiap kali berjumpa dengan kanak kanak, dari renungan
matanya dapat saya rasakan dia teringatkan anaknya.

Semasa satu lagi tugasan yang membabitkan aktiviti
wanita Tartar yang mempunyai dua orang cucu yang 
comel, Amina mendekati kanak kanak terbabit.

Berikutan tidak mahu insiden yang sama berulang lagi,
saya meminta pelajar pelajar yang menemani kami ketika
itu membawa Amina bersiar-siar di perkarangan
rumah berhampiran.

Bukannya apa, kami kesian melihatkan keadaannya
bila dia murung......

Justeru kalau ada membabitkan kanak kanak, saya,
krew dan rakan rakannya sudah tahu peranan masing
masing.

Daripada pemerhatian dapat saya simpulkan setiap
tingahlakunya seperti suka bergambar dan suka 
bercerita adalah untuk menghilangkan kedukaan hatinya.....

Dalam tawanya terselit seribu kedukaan....

Sayu dan tersentuh hati bila mengenangkan Amina...

Bagi pelajar pelajar Malaysia kita di Simferopol,mereka
bakal menduduki peperiksaan akhir tidak lama lagi  dan
mereka adalah kumpulan terakhir di tempatkan di 
Crimea State Medical University.


Sukar untuk saya bayangkan bagaimana keadaan
Amina tatkala rakan rakan rapatnya terutama 
"Memey" tatkala kembali ke tanahair tidak lama lagi.


Amina memang berminat untuk ke Malaysia justeru
saya turut mengusik beberapa pelajar lelaki untuk
"mengenali" Amina lebih dekat lagi.


Insan seperti Amina perlu dibimbing terus.......

Buat Amina juga rakan rakan, renung renungkan
ungkapan yang saya terima ini untuk dikongsi
bersama......


"Kekadang kita minta kepada Allah 
setangkai bunga segar, DIA beri 
kaktus berduri....


Kita minta kupu kupu, diberi ulat 
berbulu....


Kita sedih dan kecewa...


Namun kemudian kaktus itu berbunga, 
indah sekali dan ulat itu menjadi 
kupu kupu yang cantik....


Itulah jalan ALLAH, indah pada 
masaNYA.....


ALLAH tidak memberi apa yang kita 
harapkan, tetapi DIA memberi apa yang 
kita perlukan....


Kekadang kita sedih, kecewa, terluka, 
tetapi jauh di atas segalanya, DIA telah 
mengatur yang terbaik dalam kehidupan 
kita.....


Sesungguhnya percayalah akan janji 
ALLAH kepada orang orang beriman....


Semoga kita diberi kekuatan untuk terus 
beriman kepadaNYA......"

Amina, saya dan rakan rakan di sini terus mendoakan 
kesejahteraan anda dan moga bertemu jodoh dengan insan
yang akan terus membimbing anda mengecapi kebahagiaan
dunia dan akhirat..... 





Friday, April 22, 2011

Seminggu telah berlalu.....hatiku masih di situ...


Sungguh pantas masa berlalu....

Pejam celik, pejam celik, dah seminggu saya berada 
di tanahair yang dicintai...

Syukur menjadi warga Malaysia.....

Tatkala sayup sayup kedengaran bacaan Al Quran
sebelum Solat Jumaat tadi dari balkoni apartmen saya,
mengembalikan ingatan kepada saudara saudara
seagama kita terutama di Moscow. 

Di kala jemaah kita selesa duduk mendengar khutbah
Jumaat di masjid yang serba indah dan besar, segelintir 
jemaah di sana berhimpit untuk mendapatkan ruang 
untuk bersolat.

Dikala jemaah kita bersila di atas permaidani yang empuk
di dalam masjid, mereka duduk di atas timbunan salji,
di jalanraya, di tebing bangunan menahan kedinginan.



Di mana saja di bumiMU.....kami tetap bersujud padaMU......



Sebelum atau sesudah solat, dengan mudah jemaah kita 
memilih gerai, warung atau restoran untuk menikmati
santapan makan tengahari, di sana mereka perlu beratur
panjang kerana tidak banyak restoren makanan halal yang 
boleh didapati......

Namun alah bisa tegal bisa.

Jemaah yang selesai makan terus bangun dan memberikan 
tempat duduk kepada yang lain.


Saya perhatikan mereka tidak banyak bersembang sembang,
selesai makan terus bangun..


Kalau nak bersembang pun di luar kafe atau tepi masjid....


Seperti di kebanyakan masjid, tabung tabung sumbangan
terletak di dalam masjid mahupun di pinggir masjid.


Di Masjid Sabornaya (kira masjid terbesar di Moscow),
tabung masjid dijaga oleh petugas yang agak berumur.

Setiap kali jemaah memasukkan wang ke dalam tabung,
petugas akan terus membacakan doa kepada yang 
menghulurkan sumbangan.
 
Masjid Sabornaya kini dalam proses dibesarkan dan
InsyaAllah bakal siap hujung tahun ini.


Pembaikpulih dan pembesaran masjid terbabit memakan
masa yang agak panjang, kerana tidak mendapat
peruntukan sepenuhnya dari kerajaan.

Ia lebih kepada sumbangan jemaah, masyarakat setempat 
mahupun beberapa pihak dari negara Timur Tengah. 

Dan daripada pemerhatian saya kebanyakan jemaah
yang membanjiri masjid adalah generasi muda yang
dalam pencarian mendekatkan diri lagi kepada Illahi.

Kelas kelas agama yang dianjurkan di Masjid dan
Pusat Islam pun dipenuhi golongan ini.


Jemaah menunggu waktu Asar...tetiba turun ribut salji



Namun di Ukraine suasananya ternyata berbeza dengan
Moscow terutama di Crimea.


Crimea yang meliputi daerah Simferopol, Yalta, Ai-Petri,
Bakhchysaray, Sevastopol, Evpatoria dan beberapa lagi 
daerah, masyarakat tempatan ramai beragama Islam.

Masjid boleh memenuhi ramai jemaah dan dalam keadaan
lebih sempurna.


Satu daripada Masjid di Simferopol


Terdapat banyak masjid, restoren halal dan 
pertubuhan berlandaskan Islam membantu mereka 
yang ingin mendalami Islam.


Peranan pelajar pelajar kita yang turut meluangkan masa
mendekati masyarakat tempatan dengan mengajar
AlQuran kepada golongan kanak kanak dan remaja
khususnya di Backhcysaray satu perkara yang baik.

Alhamdulillah...


Teruskan usaha mulia itu adik adik.... termasuk 
terus membantu saudara baru kita antaranya Aminah 
penterjemah kami.


Dia mengizinkan saya menulis sedikit sebanyak 
mengenai dirinya dalam blog saya, InsyaAllah untuk 
entri esok saya kongsikan bersama...


Antara pelajar perubatan tahun akhir yang meluangkan masa bersama kanak kanak dan remaja di Backhcysaray mengajar Quran.
Aminah dan anak Pakcik Ismaillova yang rapat dengan pelajar kita




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...