Ads by nuffnang

Sunday, October 31, 2010

BAU MAYAT......?????

Hari ini sahabat saya Mazidul ke Mentawai,Indonesia membantu unit produksi Majalah 3 memaparkan kisah mangsa Tsunami di sana yang telah meragut lebih daripada 350 nyawa dan lebih 200 lagi tidak dapat dikesan.


Manakala semalam Nurul Fariha Onn, Penolong Penerbit Majalah 3, ke Yogyakarta untuk liputan mangsa Gunung Merapi yang turut meragut nyawa Penjaga Kunci Gunung Merapi, Mbah Marjian.

Selamat menjalankan tugas Mazidul dan Fariha......

Moga dipermudahkan Yang Maha Besar segala urusan di sana untuk dikongsi bersama penonton Majalah 3 kelak.


Dalam catatan Mazidul ada menyebut suasana yang bakal dihadapi antaranya mencium bau mayat bergelimpangan.

Saya ingin berkongsi secebis pengalaman yang membabitkan bau mayat...

Tapi bukanlah bau mayat akibat bencana alam.....

Saya membawa pembaca ke Pulau Seri Pura, pulau yang kaya dengan kisah dewa dewi, Bali.

Tidak semua mayat dikuburkan, ada masyarakat yang sengaja membiarkan si mati terdedah kepada hukum alam, berpanas, berhujan, semata mata kerana itulah cara mereka menghormati orang yang telah pergi.
Pintu masuk ke perkuburan Kampung Terunyan
Apa yang pelik, mayat-mayat itu tidak mengeluarkkan bau yang kuat, malahan tapak perkuburan itu berbau wangi.

Saya beserta pengacara Misteri Nusantara, Zainal Ariffin Ismail, Penolong Penerbit, Shahnun Hanif Suhaimi, Jurukamera, Kamal Azedy Ahmad dan Jurulampu, Zaime Zakaria menyeberangi sebuah tasik, berhampiran Gunung Batur di Bali Timur untuk melihat sendiri tapak perkuburan misteri itu pada pertengahan April 2004.

Persoalan demi persoalan berlegar di kotak fikiran saya, mungkinkah wujud mayat yang tidak berbau, bakal kami saksikan di depan mata.

Fenomena ini dikatakan benar-benar berlaku di Kampung Terunyan berhampiran Gunung Batur iaitu gunung berapi yang pernah meragut ribuan nyawa puluhan tahun dulu.

Dari Kuta, ke sana mengambil masa kira kira 2 jam, perjalanan turun naik bukit,  namun tidak dirasa membosankan kerana pemandangan sepanjang perjalanan memang segar mata memandang.  


Setelah itu, kami perlu menaiki bot laju kira kira setengah jam.

Terunyan atau Taru Menyan sebuah kampung Masyarakat Asli Bali wujud sejak zaman kerajaan Majapahit lebih 700 tahun.

Mereka menggelar diri mereka Masyarakat Bali Aga, beragama Hindu dan amat berpegang teguh kepada amalan mistik.

Tidak jauh dari kampung itu terletak perkuburan aneh yang hanya untuk penduduk Terunyan.
Pondok buluh yang diletakkan mayat
Tatkala kami sampai ke kawasan perkuburan terbabit, tiada bau mayat menusuk hidung melainkan bau haruman yang menimbulkan tandatanya samaada ia kemenyan, setanggi atau cendana.

Tulang serta serpihan rambut manusia juga berselarakkan di tanah lalu, saya dan rakan-rakaan terpaksa berjalan berhati-hati agar tidak terpijak objek berkenaan.

Perasaan suspen mula menyelubungi kami, sesekali saya dan Shahnun berpandangan melihatkan beberapa pondok kecil ditutup dengan batang buluh.

Tatkala pertama kali melihat mayat yang hampir kering dan reput di depan mata, terus saya membaca beberapa potong ayat suci Al Quran.

Sebelas jasad tidak bernyawa tanpa dikebumikan secara biasa mengundang pelbagai taksiran bagaimana ia boleh dilakukan.

Rupanya di bawah pondok kecil itu setiap satunya dianggap kuburan dan di dalamnya diletakkan mayat.

Kami menghampiri mayat yang berbaju putih seorang wanita, sudah 14 hari di situ tapi tidak berbau. 

Dan masih kelihatan rambut dan sedikit cebisan daging di sekitarnya.
Mungkinkah ketika ini Zainal telah menghidu bau yang kurang menyenangkan itu???
Mayat itu hanya ditutupi sehelai selimut dan tidak dikafan atau diawet sebagaimana masyarakat Mesir dahulu kala.

Malah perkuburan di situ berusia lebih 500 tahun dan masih digunakan sehingga kini.

Zainal bertanya kepada Wayan Kernang, penduduk setempat,
"Siapakah yang disimpan mayatnya di sini ya?".

"Masyarakat yang biasa ditanam di sini ialah yang sudah berkahwin dan tidak cacat tubuh, pokoknya mati suci, itu baru bisa taruh di sini. Jika ada masyarakat Terunyan mati kerana bunuh diri, berkelahi atau luka, itu tidak bisa tanam di sini. Itu punya kuburan jauh diperbatasan".

Wayan menambah, "Di sini lotnya hanya sebelas sahaja. Kalau ada yang baru, akan diangkat yang lama dan letak yang baru, silih berganti di situ. Mengikut cuaca juga, umpama kalau musim hujan, kalau cepat hancurnya itu maka cepat diganti".

Saya pula mencelah, "Bagaimana pula ia tidak berbau ?". 

"Hakikatnya ..itu pohon yang sedut baunya....Ini memang budaya kami di sini, jadi kami pelihara sebaik-baiknya", Wayan menunjukan pokok yang besar serta rimbun di belakang kami. 


Walaupun beragama Hindu Kuno, kepercayaan animisme masih kuat dan menebal di kalangan pendudk Bali Aga itu.


Mereka percaya mayat yang suci tidak seharusnya ditanam atau dibakar sebaliknya dibiarkan di bawah pokok yang dipercayai dijaga roh dan semangat nenek moyang mereka.


Pokok Kintamani atau disebut juga pohon Terunyan yang mengeluarkan haruman di bahagian akar, lalu ia menghilangkan bau mayat di sekitar.


Saya rasa aneh juga kerana hanya satu sahaja pokok jenis ini yang tumbuh di situ serta mengeluarkan bau harum.


Di satu sudut tidak jauh daripada sebelas pondok kecil, pembaca nak tahu ada apa.......

Huh terkumpul tengkorak yang menunggu Upacara Ngaben iaitu pembakaran yang dilakukan beberapa tahun sekali.


"Tengkorak di sini tidak boleh dipegang dan tidak boleh di bawa balik", jurubot kami Ketut Andi memberi amaran.


"Ada pelancong barat cuba mahu ambil secara diam diam, mau buat kajian, bot tidak boleh start, lalu kami rasa ada yang tak betul dan akhirnya dia mengaku ambil dan memulangkan kembali".

Deretan tengkorak yang di susun kemas.
Bagi kami memang tidak terlintas sama sekali untuk memegang apakan lagi untuk di bawa balik.....


Kami juga tertanya tanya, mungkinkah pokok berkenaan mengeluarkan bau harum kerana ia tumbuh subur di kawasan gunung berapi......


Misteri bagaimana mayat itu tidak berbau sesungguhnya suatu keanehan dan menjadi tandatanya......tapi benarkah mayat itu tidak berbau.....


Di sebalik paparan yang kami siarkan dalam Misteri Nusantara siaran 6 Mei 2004 itu, terdapat satu lagi misteri yang bukan tontonan.


Orang tua selalu berpesan, "sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa".  

Saya memohon kebenaran daripada Zainal Ariffin Ismail untuk berkongsi kisah ini.

Selesai penggambaran di kawasan perkuburan, beberapa langkah keluar dari pintu masuknya, Zainal dengan lantang berkata....

"Ehh siapa kata tak ada bau....ada bau lah kat tempat mayat tu....."

"Hiss.. abang ni....mana ada", saya segera respon dan menendang kaki Shahnun.

"Bau semacamlah........"Zainal menambah lagi.

"Miker ni....tak baik cakap macam tu lah, udahlah tu.... kita nak makan kat mana ni.....perut teman dah keroncong".....Shahnun menyampuk dengan loghat Peraknya dan terus menukar tajuk. 


Di sebelah malam, kami menyambung penggambaran berhampiran denagn hotel kami di Kuta.


Dalam sibuk penggambaran, Zainal masih lagi tidak puashati dan menyatakan masih terbau bau keadaan semasa di Kampung Terunyan.


Kamal Azedy tergelak melihatkan telatah Zainal.

"Yoo... bro bau Mat Salleh minum beer adalah......."  

Zainal hanya tersenyum dengan sindiran Azedy dan kami meneruskan penggambaran.


Selaku Penerbit Lokasi, saya perhatikan Zainal agak resah sepanjang rakaman "pengacaraannya".


Beberapa rangkap skrip terpaksa diulang sedangkan sebelum ini Zainal tidak memerlukan masa yang lama untuk rakaman "pengacaraannya".


Isnin, keesokan harinya, Zainal pulang ke Kuala Lumpur manakala saya dan krew lain meneruskan lagi penggambaran.


Tatkala kami pulang pada hari Rabu, saya dimaklumkan Zainal cuti sakit sejak pulang dari Bali.


Rupa-rupanya perasaan bau yang kurang menyenangkan itu, terbawa bawa sampai ke rumah......dia benar benar diselubungi misteri...


Beberapa rakan menasihatkan untuk berjumpa Pakar Perubatan Islam dan ternyata Zainal "terkena" semasa di sana......

Beberapa kali juga Zainal perlu berulang alik ke Pusat Perubatan Islam terbabit, untuk memulihkan semangatnya.


Sebenarnya, bagi saya, Shahnun, Azedy dan Zaime, sememangnya terhidu juga bau yang kurang menyenangkan itu, terutama semasa menghampiri mayat yang diselimuti kain putih, selain daripada bau pohon Kintamani, tapi kami buat tak endah..... kami tidak mahu berbicara mengenainya selagi kami di Pulau Dewata itu.......


Saya selalu berpesan kepada krew yang membuat penggambaran, kalau nampak benda pelik, terbau sesuatu yang meragukan dan perasan tidak keruan semasa di lokasi....jangan buka mulut ...bacalah apa apa yang patut.....


Zainal juga sering berpesan, tetapi mungkin hari itu.....dia terlepas cakap.....


"Jin dan syaitan dijadikan untuk menyesatkan manusia, jadi berwaspadalah.......
...............yang penting kita sentiasa memohon dilindungi Yang Maha Esa".











"HUH...BERTUAH JADI PEMENANG ANUGERAH SKRIN...."

Catatan pengalaman saya hari ini lebih santai.

Seperti yang kita tahu, tidak lama lagi Anugerah Skrin 2010 akan menemui anda.

Sebahagian daripada keratan akhbar mengenai lawatan ke Negara Uncle Sam

Dan sejak kebelakangan ini beberapa drama yang terpilih, diulang tayang buat mereka yang terlepas siarannya.

Bagi pemenang pelbagai kategori yang dipertandingkan, tahniahlah dan antara hadiah yang menanti adalah lawatan ke beberapa lokasi yang ada kaitan dengan dunia perfileman, drama mahupun televisyen ke Negara Uncle Sam.

Alhamdulillah, bagi Anugerah Skrin TV3 2005, saya berjaya memenangi Hadiah Khas Juri bagi rancangan BERSAMAMU (InsyaAllah, kisah suka duka semasa menerbitkan BERSAMAMU akan saya kongsikan tidak lama lagi).


Penerbit Eksekutif  Noraini Tahir teruja bergambar di satu daripada lokasi di Universal Studio
Pada 1 April 2006, buat julung kalinya, pemenang Anugerah Skrin di bawa ke Hollywood bagi tujuan lawatan sambil belajar ke kota yang melahirkan banyak filem blockbuster dunia.

Idea untuk membawa pemenang, lahir daripada Ketua Pegawai Eksekutif  Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, tidak lain tidak bukan Datuk Farid Ridzuan.

"Kita sering memikirkan idea untuk memartabatkan taraf industri filem, drama dan penyiaran tanahair. Antara ideanya adalah untuk membawa pemenang Anugerah Skrin ke Hollywood".

"Mulanya mahu ke Grammy Awards saja tetapi tidak berpeluang. Lawatan ke Hollywood ini pun adalah langkah pertama", Datuk Farid memberitahu kepada Hanizam Abdullah atau Kak Cham dari Berita Harian yang mengikuti lawatan itu.

Antara tempat yang sempat dilawati adalah Disneyland, Santa Monica, Beverly Hills, Walk of Fame, Warner Bros Studio dan Universal Studios.
Ahli rombongan di Santa Monica
Rata rata ahli rombongan berpendapat Warner Bros Studio dan Universal Studio membuka minda.

Banyak perkara di belakang tabir yang boleh dipelajari. Orang kata wujud anjakan paradigma.

Props seperti kayu, kadbod dan gambar saja, tapi dalam filem ia nampak begitu hidup, begitulah betapa canggihnya teknik dan teknologi yang digunakan di Hollywood.

Di bumi Negara Uncle Sam itu, banyak pengalaman indah dikutip rombongan seramai 27 orang selama lima hari sebagai ganjaran selepas meraih kemenangan pada Anugerah Skrin 2005.

Karya karya seni terbilang yang dihasilkan karyawan filem di sana terus menjadi inspirasi bagi ahli rombongan.

Dipintu masuk Warner Bros Studio

Ahli rombongan di depan satu daripada "pintu kecemasan" yang
digunakan untuk pembikinan drama perubatan
 Tidak terkecuali Nasha Aziz, yang komitmen terhadap kerjaya seninya benar-benar terserlah.

Nasha tidak lekang dengan naskhah skrip Lantai T Pinkie yang pementasannya makin hampir ketika itu.

Nasha sering diusik rakan rakan
Dalam keriuhan ahli rombongan sibuk bercerita itu dan ini, aktor Nasir Bilal Khan sangat low profile, manakala Aflin Shauki teruja akan cuba mempraktikkan pengalaman yang ditimba untuk filem akan datang.

Di studio rakaman drama bersiri "Friends "
Kami juga di bawa ke pusat membeli belah Factory Outlets di Camarillo.
Factory Outlets di Camarillo
Sampai lokasi yang dituju, masing masing membawa diri untuk mencari pelbagai barangan jenama dengan harga yang murah gila dan saya juga tidak terkecuali.
Peminat hard core barangan Timberland

Photo selepas selesai memberli belah di Camarillo
Setelah penat berpusing, saya pun duduk di bangku yang disediakan untuk pengunjung.

"Banyak shopping Bang Nasir?", saya bertanya Nasir Bilal Khan yang duduk di sebelah saya.

"Ada lah juga, kat Timberland abang beli kasut, harganya banyak beza dengan KL",Nasir menjawab pertanyaan saya.

"Memang betul, saya pun beli sepasang, abang beli kasut yang mana?"

Dia pun mengeluarkan dari beg kertas Timberland dan menunjukkan pada saya.

"Huh..sama lah abang punya kasut dengan saya", sambil saya juga tunjukkan koleksi saya.

Nasir tergelak sambil menambah, "Tapi saiz kasut Mazlin kecil, kalau tidak boleh abang pinjam aja, tak payah beli..."

Walaupun lawatannya singkat, ia amat berharga.....

.......memori manis di Hollywood...... 


Saban hari Disneyland dipenuhi pengunjung
Photo berkumpulan di Disneyland

Pertunjukan karektor Disney
Walk of Fame




Saturday, October 30, 2010

LASONG DAN LOYANG TERUS TERPINGGIR........

Catatan hari ini, saya kongsikan pengalaman ketika membuat liputan segmen Perspektif Majalah 3 untuk siaran 26 Januari 2002. 

Wanita Bidayuh antara sukukaum pribumi Sarawak Bumi Kenyalang yang berusaha mengekalkan aksesori tradisional mereka.

Segelintir wanita warga emas Bidayuh masih memakai barangan perhiasan dikenali sebagai "lasong" dan "loyang".

Lasong dipakai di bahagian betis manakala loyang dipakai dipergelangan lengan, adalah lingkaran atau lilitan dawai tembaga yang menjadi kebanggaan wanita Bidayuh sejak beratus tahun.

Mereka menganggap lasong dan loyang boleh menyerlahkan kecantikan pemakainya, walaupun pada hakikatnya pemakaian perhiasan itu agak menyukarkan pergerakan.

Tatkala dimaklumkan wakil TV3 Sarawak, Haji Basri Mohamed, bahawa kurang 15 wanita Bidayuh di Kampung Semban,yang masih memakai lasong dan loyang, krew Majalah 3 terpanggil untuk merakamkan kisah hidup mereka.

Dari Kuching ke Kampung Bengoh, Hulu Padawan mengambil masa kira-kira sejam perjalanan.

Kami meletakkan kenderaan di Kampung Bengoh, laluan masuk ke Kampung Semban dan memulakan ekspedisi jam 10 pagi.


Sesi temuramah bersama Nyipon, Peluk dan Anyu
Tiada pengangkutan lain untuk sampai ke Kampung Semban, kecuali berjalan kaki meredah hutan, mendaki dan menuruni bukit serta menyeberangi sungai. 
Perjalanan kami disulami hujan yang secara tidak langsung melambatkan pergerakan kerana laluan denai yang lecak dan licin.

Beberapa kali saya dan krew tergelincir.

Di sebalik gunung ganang setinggi hampir 3 ribu meter itu, tersimpan satu tarikan bumi Sarawak yang bakal berkubur dimamah arus kemodenan.

Namun daripada segi perhubungan untuk ke lokasi dituju, masih di takuk lama.

Jambatan gantung yang diperbuat daripada buluh benar-benar mencabar dan mendebarkan, kami terpaksa berhati-hati meniti dua batang buluh yang licin sepanjang 70 meter.

Kami dimaklumkan sungguhpun air sungainya mengalir lesu tetapi mempunyai kedalaman di antara dua ke tiga meter.

Walaupun terdapat dua batang buluh di kiri dan kanan sebagai pemegang, ia bukanlah penawar kepada debaran kami kerana terdapat juga insiden penduduk setempat terjatuh ke dalam sungai.

Bagaimana goyangnya jambatan gantung itu, begitu juga kocakan naluri kami.

Dua buah jambatan gantung berukuran sama terpaksa ditempuh dan selainnya kurang daripada 20 meter.

Bagi penduduk Kampung Semban perjalanan dari Kampung Bengoh ke kediaman mereka mengambil masa kurang dari 5 jam.

Alah bisa tegal biasa, laluan melintasi 12 buah bukit sudah sebati dengan jiwa mereka berbanding kami yang bergerak perlahan kerana keletihan.

Akhirnya setelah berjalan hampir lapan jam, sampailah ke desa terpencil Kampung Semban yang semua penghuninya telah berada di teratak masing-masing sungguhpun di ketika itu senja baru saja melabuhkan tirai malam.
Nyipon dan anaknya Peluk
Kami bermalam di rumah Bujus anak Kian, Ketua Kampung yang mempunyai beberapa bilik tambahan untuk tetamu.

Malam pertama, kami keletihan, mee segera yang di bawa menjadi makan malam dan terus melelapkan mata.

Tanpa hawa dingin mahupun kipas, keadaan sekeliling sememangnya dingin kira kira 15 darjah celcius dan kami terus dibuai mimpi.

Keesokannya, menyedut udara pagi di Kampung Semban, menyegarkan.

Kicauan beburung dan unggas rimba bagaikan satu melodi indah.

Jumlah penduduk di sini kira kira 500 orang yang rata-ratanya adalah golongan tua dan kanak-kanak.

Kebanyakan rumah dibina berasaskan buluh, tersusun kemas dan persekitaran kampung juga bersih.

Kebanyakkan generasi muda berhijrah ke bandar untuk mengecapi kehidupan yang serba moden sungguhpun kemudahan asas telah mula dirasai penduduk di sini.

Kuasae letrik yang menggunakan generator beroperasi  4 jam sehari dan dilanjutkan hingga ke pagi pada musim perayaan. 

Sungguhpun hidup sederhana dan serba kekurangan,kanak-kanak di sini tidak mahu ketingalan daripada segi pendidikan.

Berjalan kira-kira sejam ke sekolah menjadi rutin harian demi untuk masa depan.

Kebanyakan penduduk di sini bertani secara kecil-kecilan. Mereka mengusahakan tanaman seperti padi bukit, lada hitam, jagung dan sayur sayuran.

Kenangan bersama Peluk
Pagi itu juga, 2 wanita warga emas, Nyipon anak Maisak, 82 tahun dan rakan karibnya Anyu anak Dae 70 tahun, melakukan pemujaan semangat padi di lereng bukit kediaman mereka.
Ia bertujuan agar padi yang ditanam akan membuahkan hasil lumayan.

Acara itu satu daripada pemujaan atau gawai yang sudah sebati dengan cara hidup yang diwarisi turun temurun.

Mentera dibaca untuk menghalau anasir jahat daripada menganggu tanaman mereka.

Selesai upacara semangat padi, kami mendekati wanita warga emas yang kelihatan berseri dengan pakaian yang serba warna warni.

Tambah unik lagi dengan kehadiran lasong, lingkaran tembaga yang membaluti betisnya.

Hanya segelintir wanita Bidayuh yang masih memakai barangan perhiasan ini. Bagi mereka biar mati anak, jangan mati adat.

Walaupun telah dimamah usia, kedua sahabat itu masih bertenaga dan bagi mereka berdua, lasong yang dipakai tidak menjejaskan untuk terus menjalankan rutin harian berbudi pada tanah tumpah darahnya.
Menyiapkan makanan untuk Gawai Sepaan
Tatkala sampai di rumah, Nyipon memukul gong menandakan upacara semangat padi di sebelah pagi telah dilaksanakan.

Warga emas itu juga tidak boleh dipisahkan dengan tabiat memakan sirih. Mereka percaya sirih dapat menguatkan gigi.

Daripada pemerhatian saya, wanita yang memakai lasong selesa dengan duduk berlunjur.

Untuk memakai lasong sepanjang satu meter, ia memerlukan lebih tiga jam untuk disiapkan.

Ia perlu dilakukan dengan teliti dan penuh kesabaran supaya lingkaran tampak kemas dan terserlah kecantikkannya.

"Lasong dan loyang dulu orang tua kami pakai adalah sebab kejelitaan wanita dululah. Mungkin datangnya dari Hanoi dan ada dengar juga dari China. Kebanyakan budak budak sekarang tidak mahu pakai, orang tua memang saya galak pakai supaya adat trasional kami tidak hilang",Bujus menerangkan kepada kami.

Ayah kepada Bujus,Kian anak Tuah, berusia 73 tahun, adalah ketua Gawai di Kampung Semban.

Seperti anaknya yang mahu adat dan budaya nenek moyang dikekalkan, Kian juga mempunyai prinsip yang sama.

Bagi dirinya, selagi nyawa dikandung badan, selagi itu dia memastikan adat warisan nenek moyangnya tidak lenyap ditelan zaman.

Walaupun di kala ini hanya segelintir warga emas yang masih mengamalkan kepercayaan Pagan atau kepercayaan mengikuti datuk neneknya, dia terus mengetuai setiap kali upacara Gawai.
Wanita warga emas yang memakai lasong dan loyang
memukul gong tanda permulaan acara Gawai Sepaan
Gawai yang dibuat adalah Gawai Sepaan, upacara sebelum padi masak.

Pukulan gong menyemarakkan lagi situasi di rumah Nyipon.

Rentak kaki dan ayunan tangan bagi Tarian Pakak Pasuk mempunyai makna tersendiri yang tersirat di antara penari dan ketua Gawainya.

Setiap rentak gong memakan masa di antara 10 hingga 15 minit dan setiap penari yang mengiringi tarian diselang-selikan dengan minuman tuak.

Saya perhatikan kelapan-lapan wanita yang berlasong dan berloyang terus bertenaga dan khayal mengikut alunan gong.

Satu senario yang penuh dengan warnasarinya.

Hidangan kemestian adalah Tu Pit Mus, nasi yang dbungkus dengan daun yang dikenali sebagai daun nyireh.

Masyarakat Bidayuh di sini turut menggemari ikan pekasam serta ulat mulong atau ulat sago.

Di Kampung Semban, hanya Peluk dan ibunya Nyipon , hubungan anak beranak yang memakai lasong dan loyang.

Menurut Peluk, lingkaran tembaga dipasang, ketika kanak-kanak perempuan berusia lima atu enam tahun.

Setelah mencapai 12 tahun, lingkaran dilonggarkan bagi menyesuaikan dengan keadaan kaki yang membesar ketika itu.

Pada usia mereka mencecah 20 tahun, sekali lagi lingkaran dilonggarkan dan ia tidak akan diubahsuai lagi.

Ibu Peluk mempunyai alasan tersendiri untuk memakai lasong.

"Saya pakai lasong dan loyang kerana bila ada Pesta Gawai, orang akan memandang tinggi kepada kita, bagaimanapun ia terpulang kepada diri masing masing", Nyipon memberitahu kami.

Peredaran zaman juga menyaksikan ramai golongan tua tidak mahu meneruskan warisan ini atas nasihat anak mereka yang kebanyakkannya hidup moden di bandar.

Saya mendekati beberapa kanak-kanak perempuan yang sering mengekori kami sepanjang penggambaran di sebelah petang.

Ternyata kanak-kanak di situ tidak mahu meneruskan warisan yang telah bertapak lebih 150 tahun.

"Malu mau pakai, emak ada suruh pakai tapi saya tidak mahu pakailah",Mises memberitahu saya.

Manakala kakak Mises, Fanella mencelah, "Saya mahu tapi kawan tidak mahu pakai, jadi saya tidak pakailah".

Itulah generasi muda yang tidak lagi mahu meneruskan tradisi nenek moyang mereka.
Arus perubahan sering menjadi faktor utama kepada kelupusan adat serta tradisi yang menjadi amalan sejak sekian lama di kalangan masyarakat yang ada.

Warga emas yang memakai lasong lebih selesa duduk
dengan melunjurkan kaki
Ada pendapat yang menyatakan mereka malu untuk memakainya dan ada juga segelintir individu beranggapan bahawa adat dan budaya yang ada tidak sesuai lagi.
Sebagai ketua kampung dan pencinta adat dan tradisi, Bujus agak sedih kerana ibunya yang tinggal serumah tidak lagi memakai lasong dan loyang atas sebab sebab kesihatan.

Kanak kanak sekolah juga tidak digalak memakainya.

Ketika rakaman di buat awal Januari 2002, hanya tinggal sepuluh sahaja wanita Bidayuh di Kampung Semban yang masih mengamalkan adat memakai lasong dan loyang.

Kini hampir 9 tahun sudah berlalu.......masih adakah lagi yang memakainya atau masalah kesihatan membuat mereka tidak boleh meneruskan tradisi warisan nenek moyang mereka itu....

Setiap permulaan pasti ada perpisahan.....

Empat hari berlalu, begitu pantas sekali. Saat meninggalkan Nyipon, Anyu, Peluk dan warga Kampung Semban, terasa begitu sedih dan sayu sekali.


Atang'h Bata Mu Aku Boh........
Mereka sungguh peramah dan sentiasa memberi kerjasama sepanjang penggambaran.

Perkataan akhir mereka kepada saya, 'ATANG'H BATA MU AKU BOH..."
bermaksud "DATANGLAH BERJUMPA KAMI YA......"

Thursday, October 28, 2010

GUNUNG MERAPI MENGAMUK LAGI......


Kisah korban bencana Gunung Merapi, Yogyakarta, mengisi setiap dada akhbar hari ini.

Lebih 30 orang dilaporkan terbunuh dan seorang daripadanya, Penjaga Kunci Gunung Merapi itu, Mbah Marijan, 83 tahun.

Mbah Marijan ditemui meninggal dunia dalam keadaan sujud menghadap kiblat di dalam bilik di rumahnya yang terletak kira-kira 4 kilometer dari gunung terbabit.

Mbah Marijan berkeras tidak mahu meninggalkan gunung berkenaan, walaupun pihak berkuasa tempatan mengarahkan penduduk sekitar 10 kilometer berpindah ke tempat yang lebih selamat.

Jun 2006, Gunung Merapi meletus tetapi Mbah Marijan terus berada di kediamannya dan terselamat menyebabkan dia menjadi ikon kepada penduduk Indonesia kerana keberaniannya.

Mungkin Mbah Marijan beranggapan sejarah 2006 dapat diulangi, dia akan terselamat, tetapi ternyata, hidup matinya seseorang itu hanya di ketahui Yang Maha Besar. 

Daripada DIA kita datang kepada DIA kita kembali.....

Al-Fatihah kepada Mbah Marijan dan mangsa yang lain.

Pada Mei 2008, saya berpeluang ke Yogyakarta bersama rakan saya, Rosmina mesra dengan panggilan Yong, Hajar dan Nora.


Yong, Hajar, Nora bergambar kenangan di Borobodur
Percutian kami lebih berbentuk santai, tanpa menggunakan pakej daripada mana-mana syarikat pelancongan.

Tempahan tiket penerbangan dan penginapan semuanya melalui internet.

Bila sebut Yogyakarta, tidak sah percutian pengunjung ke sana,jika tidak ke Borubodur,  antara lokasi yang menerima kunjungan jutaan pelancong setiap tahun.

Beberapa lokasi lain yang menjadi tumpuan pengunjung adalah di Istana
Kraton, Candi Prambanan, Taman Sari, Pasar Beringharjo dan Muzium Kekayon.

Suasana pagi berhampiran Pasar Beringharjo
Selain menikmati makanan tempatan dengan harga yang berpatutan, pelbagai jualan barangan yang terletak di Jalan Malioboro, bagaikan menggamit pengunjung.

Kumpulan saya mengambil keputusan untuk menyewa kenderaan untuk memudahkan pergerakan. Kami beruntung mendapat Pak Leo sebagai pemandu kerana dia juga merangkap pemandu pelancong kami.

Selain membawa ke lokasi menarik, dia juga mencadangkan untuk ke Kampung Kinahrejo, Slamen, melihat kesan kemusnahan kawasan persekitarannya akibat amukan Gunung Merapi Jun 2006.

Pak Leo juga mencadangkan kepada kami untuk singgah di kediaman Penjaga Kunci Gunung Merapi, Mbah Marijan.
Gunung Merapi diseliputi awan dan antara kediaman yang musnah
"Boleh ke jumpa Mbah Marijan, pak", Yong begitu teruja dengan  cadangan Pak Leo.

"InsyaAllah, esok kalau dia ada di rumah, bisa sajaaa", Pak Leo menjawab sambil melemparkan senyuman ke arah Yong yang menutup pintu kereta, selepas letih berjalan di kawasan Borobudor.

Selesai sarapan di hotel keesokan hari, kembara kami diteruskan ke daerah Slamen kira-kira sejam setengah dari hotel penginapan kami.

Lagi kesan letusan Merapi Jun 2006
Pak Leo terus membawa ke kawasan yang hanya tinggal sisa-sisa rumah yang musnah akibat muntahan lahar Merapi 2006.

Kawasan sekitar juga dijadikan penduduk tempatan untuk menjual cenderamata antaranya gambar saat saat Gunung Merapi  mengeluarkan debu panas, topi, kemeja T dengan lakaran gambar Merapi dan juga muka Mbah Marijan.
Gambar Letusan Merapi 2006 turut menjadi bahan cenderamata
Setelah berada di kawasan terbabit kira-kira 30 minit, kami di bawa Pak Leo ke rumah Mbah Marijan yang tidak jauh dari tempat kami lawati.

Salam kami di sambut seorang wanita yang agak berusia.

Ternyata wanita itu mengenali Pak Leo, dan setelah menerangkan hajat kami ingin berjumpa dengan Mbah Marijan, kami dibenarkan masuk.

Setelah duduk seketika di ruang tamu, seorang lelaki masuk dan Pak Leo terus meluru ke arah lelaki terbabit, mencium tangannya dan berpelukan.

Kami terpinga-pinga, sememangya Mbah Marijan, seorang yang dihormati dan disegani masyarakat setempat. 

Mbah Marijan kurang sihat hari itu, sesekali bercakap terhenti kerana batuk, namun tetap berkongsi secebis kisah kejadian Gunung Merapi 2006 kepada kami.
Tak dapat bergambar dengan Mbah Marijan,
di sebelah lukisan pun oklah ya Yong...
Sebelum pulang, Yong memohon kebenaran untuk bergambar dengannya, tetapi Mbah Marijan menolak dengan baik.

Berkali kali dia mohon maaf, bagaimanapun untuk tidak menghampakan permintaanYong, Mbah Marijan mencadangkan bergambar berhampiran lukisan wajahnya yang terletak di tepi ruang tamu. 

Kami akur dengan permintaannya, jadi bergambar sahajalah di tepi frame lukisan dan di depan pintu rumahnya.
Pintu masuk ke kediaman Mbah Marijan
Dalam perjalanan pulang, saya bertanya Pak Leo,

"Pak, kenapa Mbah tidak mahu gambarnya dipotretkan oleh kami?

Pak Leo menjawab, "saya kurang pasti Chik Inn, mungkin kerana Mbah kurang sihat atau mungkin juga ada pantang larangnya kerana datangnya kita pun secara tiba-tiba......."

Ya, mungkin Mbah Marijan ada pantang larang tersendiri sebagai Jurukunci Merapi...

Sungguhpun tidak dapat merakamkan gambar kenangan bersama Jurukunci Gunung Merapi itu.....kami tetap berpuashati dapat mengenali siapa Mbah Marijan secara dekat, bukan daripada pembacaan sahaja.......




















"KESIHATAN KENA JAGA DIK......"

Hari ini saya ambil cuti tahunan menguruskan beberapa perkara seperti bayaran kereta dan Unit Trust. Cuti banyak lagi, dah nak akhir tahunlah kata kan.....

Saya gunakan wang KWSP untuk membeli Unit Trust,  kira simpanan hari tua. Ibarat kata sediakan payung sebelum hujan.

Kos perubatan sejak kebelakangan ini agak tinggi..... jadi hal hal berkaitan kewangan perlu ada perancangan.

Lepas makan tengahari, saya terus ke Gleneagle Medical Center, di Jalan Ampang untuk fisioterapi lengan kanan saya yang cedera.

Sesi terapi kira-kira 1 jam 15 minit. Saya perlu melakukan fisioterapi dengan erti kata lain, jika boleh dipulihkan, tak perlu buat pembedahan.

Empat tahun lepas saya terpaksa melakukan pembedahan lengan kiri akibat ligamen putus dan tulang kecil tumbuh dan perlu dikikis.

Ia berikutan saya buat endah tak endah tentang masalah di lengan terbabit. Bagi saya, kerja perlu diselesaikan.....

Masa pembedahan lebih 2 jam.

Dua tahun lalu, sekali lagi saya ke dewan bedah.

Kali ini kerana kecederaan lutut dam masa pembedahan lebih dari 3 jam.

Ligamen putus, tempurung lutut bermasalah.

Saya agak serik untuk membuat pembedahan kerana perasaan ketika di tolak ke bilik bedah, sukar untuk digambarkan.

Saat sebelum masuk ke dewan bedah
Denyutan jantung agak kencang dan saya juga tidak dibenarkan memakai cermin mata.

Penglihatan saya kekaburan dan  rasa tidak puas melihat keadaan sekelling.

Tatkala di dalam dewan bedah, penggunaan hawa dinginnya "full blast" begitu sejuk, terasa kesejukkan sampai ke tulang.

Jururawat yang berada di sisi saya menenangkan saya.

"Relak Kak Lin, selawat banyak banyak" katanya.

Dapatlah saya rasakan debaran seseorang yang bakal menempuh saat-saat sebelum dibedah. 

"Mazlin are you ok.....we want to put you to sleep"pakar anestetis memaklumkan pada saya dan terus menekup oksigen ke muka saya.

Keadaan bau oksigen yang kurang menyenangkan membuatkan saya antara sedar dengan tidak dan berkata,

"Rasa nak muntah,rasa nak muntah...." dan terus tertidur....

Pengalaman dilalui setiap individu agak berbeza, saya tidak tahu bagaimana perasan anda yang pernah melakukan pembedahan, bagi saya selepas bius disuntik, terus black out.

Secara tiba-tiba........

"Kak Lin, bangun bangun, Alhamdulilah semua dah selesai....." sayu sayu kedengaran suara jururawat.

"Rasa nak muntah, rasa nak muntah lah......" bagaikan kesinambungan kepada ingatan sebelum saya pengsan dan rasa seperti terlelap seketika sahaja.

Semasa saya menerbitkan MedikTV tahun 2004, saya pernah beberapa kali berada di dalam dewan bedah untuk penggambaran, antaranya untuk pembedahan akibat barah payu dara, jantung, kebakaran, pembedahan lutut dan banyak lagi.

Di sebelah kanan Ida Haryati Ibrahim Bey, PRO HUSM dan
sebelah kiri Wartawan Nurul Fariha Onn
(Pembedahan barah payu dara 6 jam)
 Pembedahan yang saya tidak boleh lupakan adalah pembedahan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun, yang mempunyai ketumbuhan otak atau Nasal Encephalocele

Suasana dalam dewan pembedahan
Pembedahan yang dilakukan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan mengambil masa 18 jam.

Ia satu pembedahan yang begitu lama dan membabitkan 2 pasukan pakar bedah.

Pembedahan yang dilakukan bermula dengan membuang ketumbuhan di atas dahi, kemudian muka kanak kanak itu dibuka dan tempurung kepalanya dicantumkan.

MasyaAllah, suspen juga menyaksikan pembedahan itu.

Di dalam dewan pembedahan terbabit, doktor pakar mempunyai tanggungjawab masing masing dan bagi pakar bius, tugas utamanya melihat mesin ECG, mesin denyutan jantung pesakitnya.

Pembedahan bermula kira kira jam 11.30 tengahari dan berakhir hampir 5 pagi.

Saya dan krew sememangnya dalam keletihan, tetapi doktor dan pembantu pembantunya kelihatan bersahaja dan khusyuk menjalankan tanggungjawab masing masing.

Dalam keadaan letih dan mengantuk beserta sejuk, saya tertanya tanya sendiri, apalah yang kanak kanak itu mimpi.....kerana begitu lama masa dia tidur.

Kini setelah diri sendiri pernah menjalani pembedahan, barulah saya tahu keadaan sebenarnya...

Tahniah kepada Dr Jeffry Malim dan pasukannya yang menjalankan tugas dengan dedikasi dan terbaik.

Saya memohon pada Illahi, agar lengan saya boleh sembuh tanpa perlu menjalani pembedahan.

Selesai fisio, saya dimaklumkan rakan saya pelakon Kartina Ayoob, isteri kepada Riezman Khuzaimi, turut menjalani fisio kerana mengalami masalah lengan.

Melawat Kartina di bilik 774
Saya terus melawatnya ke bilik 774.
"Dah lebih 5 bulan sakit, just ambik pain killer, but this few days memang sakit sangat, Tina buat MRI dan Doktor Zul kata masalah ligamen koyak", Kartina yang kini lebih banyak menjalankan kerja kerja di belakang tabir membuka bicara menjawab pertanyaan saya.

Dia perlu duduk beberapa hari lagi di hospital kerana perlu menjalankan sesi terapi yang lebih kerap.

Masalah yang dihadapi hampir sama dengan lengan kiri saya yang di bedah, namun tahap kesihatan Kartina tidak kritikal seperti saya, yang perlu menjalani pembedahan ketika itu.

"Kerja tu, kerjalah juga memang tak boleh habis, tapi kesihatan kena jaga juga dik......" saya menasihatkan Kartina dan juga ingatan kepada diri saya sendiri dan juga rakan rakan semua......

Tuesday, October 26, 2010

"AIRMATA GUNUNG KINABALU........"

Seorang penyair agung pernah berkata "TIDAK ADA APA YANG MUSTAHIL DALAM DUNIA INI", sekaligus ia memberi makna perkara mustahil boleh berlaku dalam kehidupan sehari-hari.

Faktor usia juga bukan penghalang untuk menempa nama atau berjaya dalam bidang yang diminati, antaranya mendaki gunung, aktiviti mencabar yang memerlukan ketahanan diri yang kuat dan semangat yang tinggi untuk berjaya sampai ke puncak.

Saya ingin berkongsi secebis pengalaman detik detik menarik di sertai titisan air mata sebelum berjaya ke puncak tertinggi di Asia Tenggara,
Gunung Kinabalu, Negeri Di Bawah Bayu.




Adalah menjadi rutin setiap pendaki Gunung Kinabalu, mendaftar nama memaklumkan kehadiran masing masing sebelum memulakan ekspedisi di pejabat Taman Kinabalu.

Tatkala bas membawa Krew Majalah Tiga ke Timpohon, lokasi permulaan pendakian, di benak hati tertanya-tanya, berjayakah saya untuk sampai ke puncak.


Lokasi permulaan pendakian 
Lebih-lebih lagi tiada latihan asas mendaki dibandingkan dengan peserta ekspedisi lain yang telah membuat persediaan di antara 1 hingga 2 bulan.
Selepas melakukan beberapa minit senaman ringan, tepat jam 8.40 pagi, bermulalah ekspedisi "Semangat Kinabalu" dengan 20 pendaki diketuai, Wong Har Chow.

Berusia 50 tahun ketika itu, Wong seorang ibu yang cekal dan mempunyai semangat tinggi.

Sebagai ketua ekspedisi, dia sentiasa memastikan pendaki pendakinya dalam keadaan baik dan terkawal.

Sebelum sampai ke Pondok Kandis, persinggahan pertama, setiap pendaki begitu bertenaga, melangkah dan saya juga tidak terkecuali.

Setelah berjalan lebih dari setengah jam, rehat sebentar membasahkan tekak melegakan , di samping mencari kenalan baru.

Bagaimanapun, pendaki dinasihatkan tidak berehat terlalu lama kerana ia akan meletihkan apabila memulakan perjalanan seterusnya. 

Wong gagah melangkah
Di samping Wong yang sentiasa di sisi pendaki, dia turut dibantu pemandu pelancong tempatan. Mereka yang berpengalaman turut memberi penerangan berkaitan flora dan fauna di persekitaran kami.

Haiwan kecil yang turut berkongsi kawasan, berkeliaran mencuit hati tatkala kami berehat sebentar di Pondok Persinggahan Lowi setelah berjalan lebih dari 3 jam.

Kehadiran porter-porter wanita yang bertenaga mengangkat pelbagai barangan pendaki amat saya kagumi.

Mereka kelihatan tenang kerana sudah menjadi asam garamnya mendaki setiap minggu.

Semakin tinggi gunung didaki, semakin nipis dirasakan ruang udara dan dinginnya menusuk ke tulang.

Penggunaan baju yang tebal serta sarung tangan digalakkan.

Ketika itu, tenaga makin dirasa berkurangan dan bongkah batu di kiri kanan denai menjadi tongkat menguatkan pergerakkan.

Penyediaan tangki-tangki air serta tandas di setiap pondok persinggahan, satu kemudahan yang patut dipuji.




Bermalam seketika di Gunting Lagadan
 
Setelah berjalan kira-kira 9 jam dari lokasi pertama Timpohon, akhirnya sampailah kami ke Gunting Lagadan untuk berehat sebentar sebelum memulakan pendakian ke puncak jam 1 pagi.

Saya kurang berselera menikmati hidangan makan malam, akibat kepenatan.



Bagaimanapun Wong menasihatkan saya makan walaupun sedikit, untuk mengelakkan daripada kemudaratan kesihatan ketika menyambung pendakian ke puncak yang lebih mencabar.

"Dalam perjalanan biasa, pendaki kadang kadang akan rasa nak muntah, ia perkara biasa, bila melalui sesuatu kawasan, ada yang kena sakit kepala dan muntah, jadi bila kena penyakit macam ini, mula rasa putus asa, tak dapat naik lagi, masa itu saya terpaksa menggalakkan mereka teruskan perjalanan dan naikkan semangat",Wong berkongsi pengalamannya sebagai ketua ekspedisi.

Jam 1 pagi, bersedia untuk pendakian peringkat kedua.

Ternyata benar kata individu yang pernah sampai ke gunung itu, peringkat kedua pendakian, kesusahannya lebih ketara.

Di dalam kegelapan pagi beserta kedinginannya, ia satu episod kehidupan yang sukar dilupakan.

Setiap langkah yang diatur perlu berhati-hati, jika tidak bukan saja membawa padah pada diri sendiri malah kepada rakan ekspedisi lain.

Bagi Wong, sungguhpun telah lebih dua puluh kali mendaki Gunung Kinabalu,  bagi dirinya, dia tetap berhati-hati, kerana malang tidak berbau dan tidak mengenali sesiapa.

Saya dimaklumkan kira-kira 5.45 pagi beberapa rakan ekspedisi beserta Jurukamera saya Ali Othman dan Juruteknik Azhar Yusop telah berjaya sampai ke puncak.

Kedua-duanya juga mencatat sejarah tersendiri, pertama kali menjejakkan kaki di puncak Kinabalu yang mempunyai ketinggian 4095.2 meter.


Masih jauh pendakian untuk sampai ke puncak Kinabalu
 Diikuti Wong, sedangkan saya masih jauh di belakang dengan seribu penderitaan akibat kekejangan otot.

Sememangnya saya tidak digalakkan untuk mendaki kerana mengidap diebetes. Sesiapa yang mempunyai masalah jantung juga tidak digalakkan mendaki bimbang akan memudaratkan.

Bukanlah saya degil, tetapi sudah tugasan yang diamanahkan untuk memaparkan kegigihan Wong dalam Majalah 3 siaran 2 Jun 2001,  saya mesti lakukan yang terbaik.

Jam di tangan sudah 6.27 pagi, saya masih melangkah dengan perlahan.


Airmata kesakitan mengiringi pendakian

Di hati kecil saya dapat merasakan rakan-rakan lain tidak mengira usia telah meraikan kejayaan masing-masing dan menikmati pancaran matahari terbit di puncak Kinabalu.


Saya masih terkial-kial mengheret kaki setakat yang boleh.



Segala tenaga yang ada disulami kata-kata semangat daripada pendaki lain, saya himpun dan gabungkan untuk dibawa ke puncak.

Titisan air mata kesakitan turut menjadi saksi di bumi Gunung Kinabalu, bahawa bukanlah mudah untuk menjadi tetamunya tanpa latihan dan semangat cekal.

Sungguhpun terasa hampir pitam dan hilang punca, di satu sudut hati saya tetap yakin, jika orang lain boleh, saya juga boleh.

Biarpun bukaan langkah saya tidak seperti langkah di peringkat pertama, saya tetap melangkah.

Dihati kecil saya, ketika itu memohon kekuatan daripada Illahi dan terus berzikir.........Yaa Allah, Yaa Rahman, Yaa Rahim,Yaa Malik, Yaa Quddus, Yaa Salam, Yaa Mu'min, Ya Muhaimin, Yaa Aziz, Yaa Jabbar, Yaa Mutakabbir..... berulang-kali........

Allah Maha Esa, mengetahui apa yang terbaik untuk umatNYA........


Akhirnya.......
 Alhamdulillah, tepat jam 7.02 pagi, 1 Mei 2001, satu catatan sejarah buat diri saya.

Bagi Wong, tatkala setiap pendakinya berjaya ke puncak, ia satu kepuasan dalam kerjayanya.

Bagi saya pula, berjaya menakluk puncak Kinabalu satu kepuasan yang tidak terhingga.

MasyaAllah, tatkala berada di puncak, terasa diri ini kerdil, menyaksikan keindahan alam semulajadi ciptaan Illahi.


Sokongan semangat daripada pendaki
Ia satu pengalaman amat berharga yang akan tersemat dan sentiasa tersirat di antara pendaki yang pertama kali berjaya menjejakinya seperti saya.

Terasa seperti berada di Angkasa lepas, antara awan dan kabus, menjadi gandingan keindahan yang menyemarakkan lagi "Semangat Kinabalu", bagi kumpulan ekspedisi Wong Har Chow.......
 
Semangat yang menebal di sanubari setiap pendaki Gunung Kinabalu seperti Wong bagaikan teritip di batu karang, tidak berganjak walau dipukul ombak, tidak goyah dilanggar badai...

Sekali melangkah untuk sampai ke puncak, walau apa rintangan yang ditempuhi, ia dapat ditangani.......

Sijil dengan nombor siri kepada pendaki yang berjaya sampai ke puncak




Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...