Ads by nuffnang

Friday, December 31, 2010

"Tahun terus berubah, sikap kita macamana....."

Hari terakhir 2010 pasti meninggalkan pelbagai kisah, ragam, kenangan, suka, duka, tawa, tangis dan pelbagai emosi lagi bagi setiap insan seantero dunia....

Kalau sebut azam tahun baru, lazimnya permulaan tahun tu, memanglah berkobar kobar lepas tu "haraammm......."

Saya menulis berdasarkan diri sendiri dan tak ada kena mengena dengan sesiapa yang hidup mahupun yang telah pergi menemui Illahi....

Tapi apapun pengalaman lalu boleh dijadikan pengajaran untuk memperbaiki diri......

Saya kongsikan emel yang dikirimkan rakan saya,
Siti ZubaidahMd Noor, untuk sama sama kita renungkan....
mengenai memotivasikan diri....

Kira boleh dijadikan panduan Azam 2011.......

Kita memerlukan sesuatu yang boleh menjadi daya pendorong atau motivasi untuk melakukan sesuatu pekerjaan.

Kalau pelajar yang ingin berjaya tentu memerlukan motivasi diri untuk mencapai kejayaan.

Bagi seorang pekerja pula, tentu memerlukan motivasi untuk melakukan pekerjaan dengan baik...tambahan pula perlu melakukan kerja yang sama setiap hari. Tentu bosan akan muncul jua sesekali di dalam hati .

Di bawah ni ada beberapa tips yang boleh kita praktikkan untuk motivasi diri..

1. Rancangkan dahulu apa yang perlu dibuat dan tetapkan matlamat.



 



2. Senyumlah selalu..senyuman boleh menenangkan jiwa dan juga   sebagai sedekah. 




3.Dapatkan rehat dan tidur yang berkualiti.

 



4. Jangan membahayakan diri sendiri atau menzalimi diri. 




5. Binalah persahabatan yang erat dan saling menyayangi.

 



6. Sesekali hiburkanlah hati sendiri dengan melakukan apa yang diminati.

 



7. Tonjolkan penampilan diri yang menarik dan kemas. Sesekali bergaya, apa salahnya.


8. Kawal berat badan anda dan jangan terlebih makan..takut jadi obes pula .

 



9. Amalkan gaya hidup sihat. Jangan menghisap rokok..bahaya untuk kesihatan.





10. Lakukan pemeriksaan kesihatan menyeluruh bagi mengetahui tahap kesihatan diri.

 



11. Tenangkan fikiran dan relaks sekejap.


 


12. Mandi setiap hari... jangan malas mandi tau !



13. Jadilah diri sendiri (bukan orang lain) dan berbanggalah dengan kemampuan diri.
 



14. Jangan menunjuk-nunjuk atau alim-alim kucing.  




15. Lakukan kerja seikhlas hati.

 



16. Yang paling penting, sentiasalah berdoa kepada Allah. 
  
 


Selamat menyambut 2011, semoga tahun mendatang ini akan mendekatkan lagi kita kepada Yang Maha Pencipta dan sentiasa dalam lindunganNYA......

Thursday, December 30, 2010

"Siapa Physical Movers????"

Program Potret Terbilang  tahun 2007, turut menjadikan Copenhagen ibu negara Denmark  terletak di kalangan negara-negara Scandinavia, sebagai destinasi penggambaran.



Saya dan krew ke kediaman Aida Redza, seorang penari kontemporari terkenal di Eropah.

Kediamannya yang terletak di tengah bandar Copenhagen mudah untuk saya jejaki.

Ketika kami tiba ramai tetamunya dari kalangan rakyat Malaysia yang menetap di negara itu mengunjungi Aida, lebih lagi mengetahui  kedatangan krew TV3 dari Malaysia.

Aida telah menetap lebih 6 tahun (kini hampir 10 tahun) bersama anaknya Marjan dan suaminya keturunan Danish.


Saya dan Marjan
Menurut Aida, sekali sekala masyarakat Melayu berkumpul di rumahnya untuk mengeratkan silaturahim serta melepaskan rindu kepada suasana di Malaysia.

Krew bergambar dengan warga Malaysia yang menetap di Denmark

Di Copenhagen, Islam antara agama terbesar menyebabkan tidak sukar bagi mereka untuk mendapatkan makanan halal.

Aida bekerja sebagai penari professional  iaitu penari kontemporari dan telah banyak membuat pertunjukkan di serata Eropah.

Tariannya gabungan antara rentak tari dan lakunan dianggap unik dikenali masyarakat Eropah sebagai ‘physical movers’.

Tarian yang masih belum begitu dikenali di negara Asia terutamanya di tanahair menyebabkan Aida memilih Denmark untuk terus berkarya.

Cara persembahan Aida memang unik.

Adakalanya dia bersendirian di atas pentas mahupun ruang terbuka menyampaikan karyanya dengan durasi di antara setengah jam hingga kadangkala 2 jam.

Masyarakat di Barat sememangnya memandang tinggi bakat seni dan persembahan unik karya Aida dan dia antara "Physical Movers" disegani di Denmark.

Anak Melayu berasal dari Pulau Mutiara itu sememangnya menaikkan nama Malaysia dengan cara tersendiri.

Persembahan unik mempunyai makna tersendiri

Kami turut di bawa ke tepi pantai dan Aida menunjukkan kami persembahan yang ternyata memerlukan tenaga dan daya kreativiti yang tinggi.



Persembahan bertemakan "bebaskan aku..."


Lazimnya persembahan "Physical Movers" tiada katabual, tapi lebih kepada penggunaan musik , rentak tari , "body language"  dan "props" yang membawa seribu satu makna.

Aida memang seorang artis hebat kerana persembahannnya memerlukan stamina yang banyak.......

Selesai latihan persembahannya, kami di bawa ke bandar Copenhagen yang terletak di jauh dari rumah Aida. 


Suami Aida yang paling tinggi

Denmark dikategorikan sebagai negara paling sesuai didiami di dunia berbanding negara Eropah lain.

Berhampiran pintu masuk Tivoli

Walaupun taraf dan kos hidup tinggi namun harga rumah dan barangan keperluan lain jauh lebih murah berbanding di London dan Paris.

Lazimnya ketika cuti, suaminya membawa Aida dan Marjan ke Taman Tivoli iaitu sebuah taman tema yang tertua di dunia.

Dibuka pada Ogos 1843, idea asal Georg Carstensen untuk masyarakat Denmark yang telah letih berpolitik dan berperang.

Antara tarikan Taman Tema Tivoli

Asalnya taman itu menyediakan beberapa tarikan antaranya bangunan peradaban Timur yang dibina secara imaginasi, pertunjukkan muzik, panggung teater, restoran, taman bunga dan beberapa permainan kanak-kanak seperti kuda pusing dan keretapi.


Beratur panjang untuk menikmati debaran Roller Coaster ini...

Kini ia terkenal dengan pelbagai permainan teknologi baru antaranya permainan ‘roller coaster’.

Rutsjebanen atau dipanggil landasan berbukit adalah permainan jenis ‘roller coaster’ diperbuat daripada kayu diperbuat pada tahun 1914 iaitu paling awal di dunia.

 Saya "part time" menjadi pengawal keselamatan di Taman Tema Tivoli
Masyarakat di Copenhagen mendakwa Walt Disney mendapat idea dari Taman Tivoli untuk membina Taman Tema Disney.

Taman Bunga ini sebenarnya bekas kubur lama yang dijaga rapi

Aida berharap satu hari nanti akan lahir ramai "Physical Movers" yang terdiri daripada anak Malaysia....

Bagi Aida, sungguhpun hujan emas di negara orang, hujan batu di negara sendiri, lebih baiklah negara sendiri.....

Dia kerap juga pulang ke tanahair berjumpa keluarga terutama sekali anak perempuan tunggalnya daripada perkahwinan pertama......

Selamat Maju Jaya Aida.....

Wednesday, December 29, 2010

"Rakan Maya yang mungkin Hantu Kak Limah.."

Ketika saya menulis "entri" ini, rakyat Malaysia dok menghadap televisyen menyaksikan perlawanan akhir Malaysia dan Indonesia Piala AFF Suzuki 2010, dan saya juga tidak terkecuali.......sambil menulis sambil menjeling.....memang banyak aksi cemas dan mendebarkan...

Duduk di apartmen macam saya ini yang bestnya, jeritan Kaum Adam tak kiralah di blok dan tingkat mana mereka duduk, memang menjadi seperti "jam penggera" untuk mata terus tertumpu di kaca televisyen.

Rasa macam kat stadium jugalah, lebih lagi masa Safee masukkan gol dan kepantasan Khairul Fahmi di gawang gol, siap ada mercun lagi...

Malaysia Boleh......

Oklah, semalam saya sentuh mengenai penggunaan "translation" yang membuat kita senyum sendiri, hari ini saya sentuh mengenai "rakan rakan di alam maya yang benar wujud atau sekadar Hantu Kak Limah". 

Saya rasa kebanyakan rakan blogger juga mempunyai "Facebook", dan pastinya ramai menerima permintaan untuk menjadi rakan facebook.

Satu "request friend" yang menjadi macam 'trend" dengan ayat yang"cut and paste" adalah seperti di bawah ini.

Sebahagian daripada petikannya :

"Hi dear... My name is ...... from New York, USA, 40 years of age, presently am working in Paris. I was browsing through profiles here with the intention to meet someone nice for a friendship then I came ac cross your beautiful profile and thought it wise to contact you for friendship......."

Saya kerap juga menerima "request" seumpama.....tapi memang tidak dilayan kerana dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan "rakan maya yg photo profilnya pun bukan yang sebenar".

Mungkin ini juga cara individu yang tidak bertanggungjawab mencari jalan untuk mencari mangsanya dan mungkin juga untuk dijadikan "keldai dadah".........


Jangan mudah terpedaya dan menjadi "Keldai Dadah".....

Jika sesiapa menerima "request" seumpama, berhati hati kerana individu seperti ini memang pandai bermain ayat....

Dunia tanpa sempadan memang bagus, dapat infomasi dengan sekelip mata tapi perlu bijak menggunakannya...

(Tahniah pasukan bolasepak Malaysia........Terima kasih pemain kita yang memang bersemangat waja......)

Tuesday, December 28, 2010

"Terjemahan yang membuat kita menggeleng kepala..."

Sememangnya saya ibarat "buah cempedak di luar pagar, ambil galah, tolong jolokkan, saya budak (bukanlah budak...mak budak) baru belajar, kalau salah tolong tunjukkan.....maksud di sini saya masih bertatih dalam dunia menulis blog.

Dok tengah menghadap komputer dan fikir apa yang hendak dikongsi, saya terpanggil untuk menekan butang "Translate".



Mungkin rakan rakan lain sudah sedia maklum tentang butang terbabit dan fungsinya...tak kisahlah, saya sekadar berkongsi apa yang di temui.... 

Saya dapati terdapat lebih 50 bahasa yang digunakan untuk diterjemahkan entri yang ditulis saya mahupun rakan rakan lain....

Ia mengikut bahasa itu sendiri, di mana kalau Thailand, entri kita dalam tulisan Siam, Rusia dengan tulisan Rusia, Jepun dengan tulisan Jepun dan banyak lagi.....

Tu kekadang bila tenguk di Feedjit dan Geo Counter, ada pembaca dari Malta lah, Ukraine lah, Hungary lah, hairan juga tapi saya berpandangan mungkin ada rakyat Malaysia yang menetap di sana atau ada di kalangan mereka yang memahami Bahasa Malaysia.

Hakikatnya, ada perkhidmatan "translate" membuatkan entri kita dapat dibaca seluruh dunia. Ia satu langkah yang baiklah.....mungkin penggunaan ayat adalah "standard translation".

Yang kurang sikit baiknya, terjemahan yang membawa makna yang agak berbeza.....

Contoh entri mengenai :

"Melacur untuk beli susu anak....."

diterjemah kepada :

'Child Prostitution To Buy Milk..."

Petikan :- Ingatlah "nora" anak anak masih kecil, salah cara dan corak didikan maka pincanglah masa depan mereka....kasihanilah mereka.....

Terjemahan :-

"Rememer "nora" young children, one way and the patterns of parenting, then their future...pincanglah their mercy...."

Petikan Entri Kisah Pak Abu,

"Penat berdiri kami duduk dan penat duduk kami berdiri, kehangatan mentari tidak dirasai kerana damai mata memandang kehijauan sepanjang perjalanan".

Terjemahan:-

"Tired tired stand up we sat down and we sat up, felt the warmth of the sun is not at peace as the eye could see along the way green".

Entri semalam.

"Dah balik, tak boleh nak tidur sebab risau beberapa visual tak selesai dikemaskinikan.. dan staf saya kelihatan mengantuk semasa saya tingalkan mereka di bilik suntingan....."

"At back, can not want to sleep because of worry about some visual pulak unfinished updated....and my staf to look sleepy when I tinggalkan edit them in the room..."

MasyaAllah... bila pulak saya mengedit staf saya??? 

Apapun, jika rakan rakan blogger ada kelapangan masa, cuba buka mana mana entri yang ditulis dan cuba baca terjemahan.....

Saya tersenyum sendiri bila membaca entri yang diterjemahkan.....

Selamat mencuba.....

Monday, December 27, 2010

'MALAM NI BOLEH TIDUR NYENYAK..."

Alhamdulillah, sesi prebiu petang tadi dengan bos besar PWS berjalan lancar.

Episod satu dan dua program RONA..Rentak Irama Kehidupan.....lulus untuk tayangan tanpa sebarang potongan...(huh macam filem pulak..)

Di bawah ini adalah logo program tersebut......



Elemen bulat begitu besar, sebab bumi berputar dan luas untuk individu mencari rezeki...

Huruf "O" seperti ada titisan peluh kerana penat kerja tapi diteruskan kerana ia terus berpusing maka terus berusaha...

Bagi rakan  yang baru membaca entri ini, mungkin tertanya apa yang saya tulis ini....sebenarnya ia adalah kesinambungan kepada entri semalam.

Program baru di TV9 terbitan PWS, memaparkan insan yang melakukan beberapa kerja "halal" untuk menambah pendapatan.

Maklumlah hidup di bandar besar.....kalau berusaha lebih pasti akan dapat rezeki lebih....

Kalau tak berusaha, "habuk pun tarak"....Rezeki tidak datang bergolek.....

Semalam saya sampai rumah dari ofis setelah memantau visual Episod 1 dan Episod 2,  hampir pukul 12 tengahmalam.

Dah balik, tak boleh nak  tidur pulak sebab risau beberapa visual tak selesai dikemaskinikan....dan staf saya kelihatan mengantuk semasa saya tinggallkan mereka di bilik suntingan....


Saya pun menghadap komputer dan singgahlah ke beberapa blog rakan rakan....dan membaca catatan rakan rakan yang semuanya hebat hebat belaka.

Kira kira jam 3 pagi,  Izat penolong penerbit/wartawan yang dipertanggungjawab untuk menerbitkan episod 2  menghantar mesej mengatakan segala suntingan telah selesai.....

Huh.... leganya....kul 3.30 pagi baru tidur....

Inilah sebahagian daripada cara kerja kami di dunia penyiaran.......Selagi tak selesai memang merisaukan....dan kekadang tak boleh lelapkan mata... 

Terima kasih pada Mak Ngah kerana memberikan cadangan
mengenai pasangan di Shah Alam yang bekerja keras untuk
menampung kehidupan sungguhpun mereka OKU.

Bagi sesiapa yang ada cadangan individu yang difikirkan sesuai, bolehlah memaklumkan kepada saya ya.....Kriteria ada saya catatkan dalam entri semalam.....

Terima kasih rakan rakan.....

Nak tidur awal hari ini......

Sunday, December 26, 2010

'RONA...RENTAK IRAMA KEHIDUPAN...'

Hujung minggu lazimnya masa diluangkan untuk bersama keluarga, sanak saudara mahupun rakan rakan.

Tapi bagi kami yang bertugas di dunia penyiaran kekadang dah tak kenal hari Sabtu, Ahad mahupun cuti Am...lebih lagi jika "dateline" sesuatu program makin hampir.

Ketika ini saya memantau dan menyelaras satu program baru bertajuk RONA...Rentak Irama Kehidupan.

Ia memaparkan kisah insan yang menetap di ibukota atau bandar besar dan melakukan beberapa pekerjaan 'Halal" demi untuk menambah pendapatan hidup untuk diri sendiri mahupun keluarga.

Perkataan "RONA" turut dimaksudkan sebagai ragam...

Episod 1 Siaran 4 Januari 2011 memaparkan Khairul Zulkifli

Akan disiarkan di TV9 bermula 4 Januari 2011, jam 9.30 malam (waktu perdana), pendekatan program ini agak berbeza kerana kurang penggunaan skrip, tetapi lebih kepada tuanpunya diri menyampaikan kisah hidup disokong keluarga mahupun sahabat serta diselangselikan dengan lagu yang ada kaitan dengan individu terbabit.

Bos besar PWS dah prebiu Isnin lepas, ada beberapa pertukaran dan tambahan perlu dibuat dan dia akan prebiu kembali esok, tu yang membuat staf RONA bekerja terus untuk menghasilkan yang terbaik....maklumlah kalau siaran waktu perdana, lebih lagilah tekanannya....

Seperti saya kongsikan sebelum in, tenguk di kaca TV kejap aja, tapi nak buatnya.....huh.....kena pulak kalau program baru.....biasalah beberapa pertukaran demi pertukaran perlu dibuat.....

Pagi lagi, Penolong Penerbit saya keluar untuk pengambaran di sekitar Lembah Klang....

Pada mulanya saya bercadang untuk turut serta, tapi kesihatan tidak mengizinkan, maka saya "brief" melalui telefon kepada Izat tambahan visual yang perlu dibuat.

Beberapa kali saya menghubunginya untuk mengetahui perkembangan penggambaran.

Dalam keadaan tidak berapa sihat, saya terpaksa juga ke Subang untuk menyelesaikan urusan keluarga dan anakbuah saya memaksa makan tengahari bersama mereka.....tak "join" kecil hati pulak....

Terima kasih Adham belanja mak sedara.....juga Ika dan Tira....

Sepatutnya saya ada perjumpaan dengan rakan rakan lama, Sekolah Convent Klang 84 ("reunion") di sebuah hotel di Shah Alam untuk makan tengahari, tetapi terpaksa saya batalkan kerana kesuntukan masa dan perut tak memberi kerjasama...(pantang salah makan) 

Ada di kalangan rakan rakan yang hadir, saya tidak jumpa lebih 20 tahun, sekadar berhubung dengan telefon.....

Tapi apakan daya, mujurlah mereka memahami kerjaya saya dalam dunia penyiaran ini...tuntutan kerja membataskan waktu....(begitu juga tuntutan perut)

.... InsyaAllah nanti kita akan jumpa....Maaf pada sahabat saya Sara, Ija, Azwa, Lynn Nasir, Norma, Yati, Jayanthi, Mei Ling dari Sabah dan Ekarani dari Penang...dan yang lain lain...

Balik dari Subang, bercadang terus ke ofis, tetapi menurut seorang lagi Penolong Penerbit saya, Fieza, visualnya belum selesai disunting bersama penyunting visual Fairuz.

Saya terus balik ke Apartment, angkat kain dan cuci Akuarium ikan (minggu lepas sibuk dengan Adam, ular sawa peliharaan saya, minggu ini ikan pulak) kerana ikan Guppy saya tak suka akuarium berlumut.

Ikan Guppy saya "camera shy" tak macam "Adam"

Selesai bersihkan akuarium , kedua dua penolong penerbit memaklumkan masih dalam proses suntingan visual, maka saya pun menghadap laptop dan dok tulislah "entri" ini.

Jap lagi nak ke ofis ........sesi prebiu saya dengan staf RONA sebelum bos pulak prebiu esok.... 

Haah... saya pun dah macam insan dalam Rona..Rentak Irama Kehidupan.. banyak benda kena buat.... tapi saya lebih pada Rentak Kanvas Kehidupan kerana dah memang rutin biasa... dan dicatatkan untuk dikongsi bersama...bukan untuk cari wang tambahan....

Penggambaran di kawasan rumah Khairul di Kepong

Episod pertama kami paparkan seorang anak muda kelahiran Johor, Khairul Ahmad Zulkifli, 27 tahun, bekerja sebagai budak pejabat/"mat despatch" untuk sebuah syarikat di Wangsa Maju.

Di waktu yang sama sebelah petang, dia berniaga burger berhampiran rumahnya. Bakal menjadi ayah pada Mei tahun depan, Khairul juga turut mahir memperbaiki sebarang kerosakan letrik jiran tetangga.

Penolong Penerbit, Fieza gaya ala mak tiri cekak pinggang.....

Bagi dirinya, segala penat perlu tolak ke tepi kalau nak cari rezeki...kadangkala baru habis meniaga burger, berlaku litar pintas di rumah jiran, dia terus memperbaiki.....

Sebagai Mat Despatch, masyarakat lazimnya melabelkan sebagai Mat Rempit, tetapi bagi Khairul, dia bukanlah kaki rempit.....

Sesi temuramah di rumah Khairul


Berpegang kepada prinsip hidup:

 'TAK KISAH APA ORANG NAK CAKAP PASAL SAYA , JANJI SAYA CARI REZEKI YANG HALAL....."

Krew RONA dan saya kagum dengan semangat Khairul, tiada perkataan letih atau malas dalam kamus hidupnya.....selagi ada kemahuan, pasti ada jalan.....

Jika kudrat kita masih kuat, carilah rezeki kerana Allah menaburkan rezeki di mana mana sahaja, tetapi kenapa ada di kalangan individu tertentu terlalu memilih kerja.....??????


(Jika rakan blogger ada mempunyai sahabat yang menetap di bandar besar seperti Penang, Johor, Ipoh, Seremban, Kota Kinabalu, Kuching, Alor Star, Kota Bharu bolehlah berikan "contact number", moga semangat yang ada pada mereka dapat dijadikan tauladan untuk sahabat lain membuat renungan dan perbaiki diri. Kriteria, tak kira jantina, bangsa atau agama, umur di antara 20 hingga 45 tahun, rakyat Malaysia. Terima Kasih rakan rakan blogger.....)




Saturday, December 25, 2010

"Melacur untuk beli susu anak ....."

Saya yakin ramai telah membaca kisah dalam suratkhabar Kosmo hari ini di mukasurat 8, mengisahkan wanita berusia 30an terjebak dalam dunia pelacuran sejak dua tahun lalu selepas bercerai....

Dia memberitahu kepada wartawan Kosmo yang membuat liputan itu, bahawa dia seronok dengan pekerjaan itu kerana mampu memperolehi pendapatan setaraf dengan gaji eksekutif iaitu kira kira RM 3,000.00 sebulan.....hanya dengan menjual diri di kaki lima bangunan Wisma Indah, Jalan Pudu.

MasyaAllah....tidak ada pekerjaan lain kah daripada menjual diri dan memberi makan kepada 2 anak yang berusia tiga dan lima tahun dengan sumber yang haram......... 

Di kawasan itu juga, selain daripada warga tempatan, warga Filipina dan China dan Vietnam turut menjadikan "port" mencari pelanggan.

Di harap pihak berkuasa tempatan segera membenteras kegiatan maksiat yang makin berleluasa.

Bagi ibu muda yang hanya mahu dikenali sebagai "nora"(nama samaran) bertaubat dan kembali ke pangkuan jalan yang lebih baik dan diredhai Illahi ......

Pesanan Rasulullah SAW,

"Setiap usaha yang dilakukan dengan penuh ikhlas, tanpa melanggar batasan agama dan syarak, dengan disertai niat yang baik, maka akan memberikan keberkatan yang tersendiri. Bekerja juga dianggap suatu ibadah yang akan memberikan ganjaran".

Ingatlah "nora" anak anak masih kecil, salah cara dan corak didikan, maka pincanglah masa depan mereka.....kasihanilah mereka....

Moga hatimu terbuka untuk berubah, mencari pekerjaan yang diberkati dan membuka satu episod kehidupan yang baru .......

Friday, December 24, 2010

"MENGGANTUNG HARAPAN........BEROLEH KEJAYAAN..."

Selain rancangan Bersamamu memaparkan golongan atau keluarga yang miskin, anak yatim mahupun ibu tunggal, kami turut menerbitkan 13 episod untuk  musim ke 6, bertemakan Penuhi Impian....

Saya kongsikan dalam "entri" ini mengenai seorang ayah berjiwa besar yang disiarkan pada  1 Disember 2006.

"Pakcik tidak malu di pandang miskin oleh masyarakat, kerana pada pakcik, di sekeliling rumah ada pokok kelapa, pisang, ubi kayu, kira kayalah.Tapi pakcik malu di pandang miskin di sisi Allah”.

Itulah kata-kata yang keluar daripada ayah kepada 13 cahayamata yang mempunyai makna begitu mendalam.


Sesi temuramah bersama Datuk Dr Patawari di Kota Kinabalu

Seorang ayah yang sanggup mengikat perut dan melakukan apa saja pekerjaan demi masa depan anak-anaknya.

Terpanggil dengan kisah kegigihan Abu Bakar berasal dari Pulau Sebatik, Tawau, Sabah,membesarkan anak-anaknya, kami mendekati ayah berjiwa besar itu.

Pak Abu, 65 tahun mempunyai keperibadian yang baik, dihormati dan sering memberi kerjasama dengan sesiapa sahaja.

Sungguhpun mempunyai 13 anak, seorang meninggal semasa kecil, dia dikatakan bersemangat waja menggantung harapan sentiasa beroleh kejayaan di dalam keredaan Yang Maha Esa.

Dia tidak pernah meminta balasan membesarkan zuriat, sebaliknya hanya mahu menjejakkan kaki ke tanah suci.

Justeru 2005, tahun yang sungguh bermakna buat Pak Abu kerana dihantar  anak-anaknya menunaikan haji.

Baginya dia tidak mahu meminta pelbagai balasan berbentuk wang mahupun barangan selain menunaikan haji kerana dia tidak rela membazirkan wang ke arah yang menguntungkan satu pihak.

Temuramah denga Pak Abu di Kaki Gunung Kinabalu

Wang yang ada pada Pak Abu lebih afdal untuk pelajaran yang akan menjamin masa depan anak yang masih bersekolah dan cucunya.

Untuk sampai ke Pulau Sebatik, kami perlu menaiki bot laju dengan perjalanan ke jeti perhentian di Kampung Sg Tongkang mengambil masa 35 minit.

Saya difahamkan jika menaiki bot penumpang yang lebih besar, masa yang di ambil untuk sampai ke destinasi melebihi 1 jam.

Lori adalah antara pengangkutan utama di kawasan ini untuk ke beberapa kampung di sekitar Pulau Sebatik.  Saya dan krew juga tidak terkecuali menaiki lori....

Melintasi tanaman kelapa sawit, pisang, kelapa masih tidak menemukan kami ke rumah Abu di Kampung Sg Tamang.

Penat berdiri kami duduk dan penat duduk kami berdiri, kehangatan mentari tidak di rasai kerana damai mata memandang kehijauan sepanjang perjalanan.

Terdetik di benak hati, kediaman yang jauh di pendalaman membuatkan penghuni di sini yang rata-rata petani dengan pendapatan seadanya, sukar untuk ke bandar, termasuklah Pak Abu sendiri.

Kira-kira 40 minit, menaiki lori, kami sampai ke simpang untuk ke rumah Pak Abu.Kemudian kami menaiki motorsikal yang disediakan berikutan  ketua kampung tidak sampai hati melihat kami berjalan kaki kerana keletihan.

Kiranya perjalanan saya perlu naik bot, naik lori dan diikuti dengan naik motorsikal...bertujuan berjumpa Pak Abu kerana ingin mendengar impiannya yang terbuku di sanubari.

Kami dimaklumkan Pak Abu pernah ke Semenanjung Malaysia pada 1999 bersama isterinya.

Namun hasratnya untuk bermalam di Kuala Lumpur dan menikmati keindahan ibukota tidak tercapai kerana terpaksa terus ke Pantai Timur untuk menghadiri majlis perkahwinan anak lelakinya, Umar Hadi.

Bangunan pencakar langit hanya dilihat daripada kejauhan.

Di Tasik Putra Jaya
Tatkala, kami memberitahu untuk membawa Pak Abu ke Kuala Lumpur, dia terus menolak dengan alasan wang yang ada untuk kegunaan anak-anak.

“Satu masa dulu, sampai gigi emas mama, di korek dan di jual. Termasuk saya punya jam tangan. Sebab saya ingat, tiada guna saya simpan ni barang, ia membanggakan saya, jadi membuat hati saya gembira sedangkan saya punya zuriat tidak tahu ke mana nasibnya”.

Bagi Pak Abu wang yang ada di simpan untuk membesarkan anaknya yang masih bersekolah. Jika 5 daripada anaknya telah menjadi guru, dia berharap 5 lagi anaknya mendapat pekerjaan lebih baik daripada yang lain.

Bersama krew di Tasik Putra

Setelah menerangkan pemergiannya, satu hadiah buat dirinya sebagai ayah contoh, perkataan pertama yang diluahkan adalah kesyukuran tidak terhingga kepada Yang Maha Esa.

Selama seminggu kami mendampingi Abu, beberapa pengalaman dan kata-kata ayah yang berjiwa besar ini dapat dijadikan pengajaran untuk mewarnai kanvas kehidupan setiap insan.

Dari Tawau, Pak Abu di bawa ke Kota Kinabalu.

Kedatangan Pak Abu disambut meriah pihak Menara KL

Semangat Pak Abu tinggi bagaikan Gunung Kinabalu, gunung  kebanggaan rakyat di Negeri Bawah Bayu
    
Seumur hidupnya, dia tidak pernah menjejakkan kaki ke Taman Kinabalu justeru kami membawa Pak Abu ke sana dan sesi temuramah di lakukan di kaki Gunung Kinabalu.

Sama sekali tidak terlintas untuk Pak Abu menjejakkan diri di gunung sambil menghirup udara segar.


Destinasi seterusnya Kuala Lumpur.


Di atas ruang tinjau Menara KL

Impian untuk melihat keindahan Kuala Lumpur turut di realisasikan dengan kerjasama Adun Pulau Sebatik ketika itu, Datuk Dr Patawari Patawe.

Jika sebelum ini menara berkembar Petronas hanya di lihat daripada kaca tv dan di dada akhbar, lawatan ke ibukota membuka lembaran sejarah baru buat Pak Abu.

Kami turut membawa ayah bersemangat kental ini, merasai sendiri transit aliran ringan, LRT  mengelilingi ibukota.


Hasrat Abu untuk ke Putra Jaya turut ditunaikan dan dia turut berpeluang bersolat di Masjid Putra yang tersergam indah.

Pertemuan singkat penuh bermakna....


Meminati lagu-lagu Tan Sri SM Salim,  Pak Abu terkejut tatkala kami membawa dia berjumpa dengan penyanyi kegemarannya.
   
Sungguhpun pertemuan singkat, tetapi penuh makna dan mereka berdua sempat bertukar cenderamata tanda ingatan atas perjumpaan.


Impian untuk menjejakkan kaki di Menara Kuala Lumpur tersemat erat di hati sejak 1999, tetapi di pendam kerana tidak mahu menyusahkan anak-anaknya.
 

Dengan kerjasama pihak pengurusan Menara Kuala Lumpur, impian Abu Bakar dipenuhi dengan sambutan bagaikan pahlawan yang pulang berjuang.

Pak Abu memang tidak menyangka sama sekali kehadirannya di menara itu di sambut dengan begitu meriah sekali.

Bersama anaknya Cikgu Umar Hadi

Makan malam di restoren berputar membuat dia teruja dan ia satu pengalaman yang sukar dilupakan Pak Abu.

Dia sempat membisikkan rasahatinya kepada saya bahawa sambutan di menara bagaikan memasuki Istana Kayangan.

Kami turut memberi kejutan dengan membawa anaknya Umar Hadi, guru di Kuala Lipis, Pahang ke Menara Kuala Lumpur .

Pada asalnya kami memaklumkan Umar tidak dapat datang kerana sibuk.

Pak Abu nampak sedih bila diberitahu tetapi dia redha dan memahami keadaan anaknya.

Tatkala terlihat kelibat anaknya, Pak Abu begitu gembira dan bergenang airmatanya...

Lebih setahun dia tidak berjumpa anak dan cucunya.
                                               
Bagi Abu Bakar, pengalaman seminggu bersama krew Bersamamu – Penuhi Impian akan terus terpetri di lubuk hatinya dan hati saya juga.....

Bagaikan satu mimpi yang indah, satu mimpi menjadi kenyataan yang begitu berharga buat seorang ayah berjiwa besar.....

(Terima kasih kerana semua pihak yang membantu memenuhi impian insan bernama Abu Bakar....)


 




 

Thursday, December 23, 2010

"Jari Jemari Sentuhan Kreatif...."


Saya terpanggil untuk berkongsi emel yang dikirimkan sahabat saya Shahnun Hanif Suhaimi yang memang gemar meng"forward" pelbagai emel kepada rakan rakan di Primeworks Studio hinggakan penuh "mailbox" kami.

Emel "Really...Really..Incredible....." mengisahkan seorang insan bernama Eric yang dikurniakan kelebihan untuk menghasilkan karya sentuhan kreatifnya di dinding dinding bangunan dibantu isterinya Kathy sebagai Pengurus Projek....

Lazimnya Eric sendiri membuat penyelidikan, lakaran, melukis dan cat sendiri rekaan mengikut persetujuan pelanggan.

Mungkin ada rakan rakan yang telah melihat sentuhan Eric, bagi yang belum, hayati photo photo di bawah ini.

Bangunan Kolej Perubatan yang belum diberi sentuhan Eric...
           
Eric mengecat bangunan mengikut lakaran asal


Bangunan Kolej Perubatan bertukar wajah hasil sentuhan Eric...
Memang sukar untuk dipercayai bangunan yang telah dilukis kelihatan seperti 2 dimensi.

Dinding yang kelihatan kosong di Bucyrus,Ohio



Siapa sangka dinding di pinggir jalan berubah bagaikan sebuah lokasi membeli belah yang indah dengan tempat berekreasi sekali....



Pusat membeli belah Niagara, NY (sebelum sentuhan Eric)
Selepas sentuhan Eric

Cuba perhatikan dengan lebih dekat lagi hasil sentuhan Eric, ia memerlukan skil dan kesabaran yang tinggi.....


Mungkin burung yang berterbangan juga terperdaya dengan lukisan terbabit lantas terlanggar lukisan......

Kes naya lah Sang Burung.....

Dinding kosong
Selain menghasilkan lukisan di luar bangunan, Eric turut menyumbangkan tenaga untuk menghasilkan lukisan di dalam bangunan mengikut kehendak pelanggan.

Jika tak perasan, mahu terlanggar dinding....kerana ingatkan ada lorong lain...
Begitu teliti hasil sentuhan Eric

Sesungguhnya setiap insan yang dilahirkan di dunia ini mempunyai kelebihan dan kebolehan masing masing......

Jaga dengan baik sifat peribadi itu dan reputasi itu akan muncul dengan sendirinya......

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...